JENAYAH & MAHKAMAH

PASANGAN DIPENJARA 12 BULAN KERANA AKSI TIDAK SENONOH DI KUBUR FAIL RAYUAN

28/03/2026 06:08 PM

GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) -- Pasangan kekasih yang dihukum penjara 12 bulan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina pada Ahad lepas telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar sabitan dan hukuman terhadap mereka.

Rayuan itu difailkan oleh peguam Datuk Naran Singh, yang memohon agar hukuman ke atas mereka disemak semula atas alasan ia adalah keterlaluan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Khamis lepas, Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu selepas M. Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, mengaku bersalah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam pada 8.30 pagi 22 Mac lepas mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun.

Mengikut fakta kes, perkara itu terbongkar selepas sebuah video tular di Facebook memaparkan dua individu berkelakuan tidak senonoh di tanah perkuburan.

Pengadu yang menonton klip video itu telah diarah oleh pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan untuk membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan