JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KESAN INDIVIDU MAIN MERCUN DARI SUNROOF KERETA SEDANG BERGERAK

28/03/2026 06:40 PM

SHAH ALAM, 28 Mac (Bernama) -- Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terbabit dalam insiden bermain mercun secara berbahaya dari sunroof kereta yang sedang bergerak di sekitar Persiaran Ficus Seksyen U15 di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata pihaknya menerima laporan pada 12.48 tengah hari tadi selepas video berkaitan insiden itu tular di media sosial, dan mengesahkan ia berlaku di kawasan Elmina Rainforest.

“Siasatan mendapati rakaman video berdurasi 50 saat itu menunjukkan kejadian berlaku pada waktu malam...  suspek lelaki melepaskan beberapa das tembakan mercun ke udara ketika berdiri melalui cermin sunroof kereta yang dipercayai dipandu individu lain," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ramsay berkata individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman menerusi talian 011-1755 4394 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan