EKONOMI

SEIRING PRESTASI KEBANYAKAN PASARAN SERANTAU, BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

30/03/2026 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi ini dengan lebih rendah susulan aktiviti jualan saham-saham wajaran tinggi selain seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup sebanyak 25.80 mata atau 1.50 peratus kepada 1,686.85 daripada 1,712.65 pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 10.57 mata kepada 1,702.08 juga turun naik dalam julat 1,686.52 hingga 1,702.38 dalam sesi berkenaan.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 858 berbanding 315 manakala 329 tidak berubah, 1,240 tidak diniagakan dan 134 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.22 bilion unit bernilai RM2.19 bilion.

Di pasaran serantau, Indeks Hang Seng turun 0.90 peratus kepada 24,727.84, Indeks Komposit Kospi Korea Selatan merosot 2.90 peratus kepada 5,2282.27 manakala Indeks Komposit Jakarta menguncup 0.35 peratus kepada 7,072.66.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan tekanan jualan susulan penurunan Wall Street, juga dijangka memberi tempias kepada bursa tempatan.

Usaha meredakan ketegangan di Timur Tengah yang tidak banyak mencatat kemajuan juga dijangka hanya melanjutkan lagi sentimen mengelak risiko, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini.

“Namun, kami menjangkakan minat belian akan terus ketara bagi saham berkaitan hiliran pusat data manakala perkembangan positif dalam sektor utiliti sepatutnya memberi sokongan terhadap projek-projek yang dirancang,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank turun 18 sen kepada RM4.62, Maybank rugi 24 sen kepada RM11.22, CIMB susut 26 sen kepada RM7.44 dan IHH Healthcare kehilangan 22 sen kepada RM8.83.

Selain itu, saham paling aktif didahului oleh Top Glove yang menambah empat sen kepada 61 sen, Sunway Healthcare turun 16 sen kepada RM2.21, Zetrix AI meraih setengah sen 74 sen, Hartalega menokok 11 sen kepada RM1.11 manakala Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Batu Kawan melonjak RM1.16 kepada RM20.92, Kuala Lumpur Kepong naik 98 sen kepada RM21.10, Press Metal menokok 59 sen kepada RM8.20, SD Guthrie meraih 37 sen kepada RM6.29 manakala Petronas Chemicals naik 25 sen kepada RM6.05.

Sebaliknya, kaunter paling rugi termasuk Fraser & Neave susut 86 sen kepada RM29.90, Hong Leong Financial turun 58 sen kepada RM18.82, Malaysian Pacific merosot 50 sen kepada RM28.50 manakala Malayan Cement turun 37 sen kepada RM5.93.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 susut 191.37 mata kepada 12,146.13, Indeks FBM Emas Shariah turun 99.75 mata kepada 12,172.44 dan Indeks FBM Emas menguncup 190.83 mata kepada 12,274.43.

Pada masa sama, Indeks FBM 70 merosot sebanyak 288.92 mata kepada 16,809.87 dan Indeks FBM ACE berkurangan 96.23 mata kepada 4,231.22.

Bagi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.78 mata kepada 185.67, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 540.26 mata kepada 19,787.24, Indeks Perladangan meningkat 291.43 mata kepada 8,996.40 dan Indeks Tenaga meraih 2.88 mata kepada 801.17.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan