SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menerima 100 aduan membabitkan pembakaran terbuka dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 81 aduan bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Pengarahnya Abdul Aziz Parmin berkata angka itu agak membimbangkan berikutan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini meningkatkan risiko kebakaran.
“Peningkatan suhu dan kekurangan taburan hujan menyebabkan keadaan persekitaran lebih mudah terbakar walaupun hanya berpunca daripada percikan api kecil atau aktiviti pembakaran berskala kecil.
“Melakukan pembakaran terbuka dilarang sama sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Seksyen 29A) dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang melanggar akta itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pembakaran terbuka bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara yang serius, malah memberi kesan langsung terhadap kesihatan awam, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Abdul Aziz berkata kebakaran yang tidak terkawal akan menyebabkan jerebu di kawasan setempat sekali gus menjejaskan jarak penglihatan dan kualiti udara selain pelepasan karbon tinggi yang menyumbang kepada perubahan iklim.
“Selain itu, pembakaran terbuka turut mengakibatkan kemusnahan habitat semula jadi, menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mengancam kelangsungan biodiversiti,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa orang ramai lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang aktiviti tersebut kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari berkata sebanyak 205 kes pembakaran terbuka direkodkan di negeri itu dari 1 hingga 25 Mac, meningkat 159.5 peratus berbanding 79 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA
