AM

DIYAT PERLU DITELITI LINDUNGI HAK WARIS MANGSA KEMALANGAN - ZULKIFLI

30/03/2026 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Mekanisme diyat, iaitu pampasan berasaskan syariah wajar diteliti sebagai instrumen keadilan kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata hak waris mangsa tidak boleh diabaikan dan pendekatan diyat perlu diberi perhatian bagi memastikan keadilan serta perlindungan sewajarnya kepada keluarga waris.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya insiden tragik di Klang yang meragut nyawa seorang bapa, Allahyarham Amirul Hafiz Omar akibat pemandu dipercayai mabuk dan positif dadah. Tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi membahayakan nyawa orang lain. 

“Kejadian ini amat menyedihkan dan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak ternilai. Saya menggesa Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Beliau berkata satu perbincangan mengenai pelaksanaan diyat telah digerakkan pada 11 Feb lepas di Putrajaya bersama mufti-mufti serta barisan tokoh dan pakar dalam bidang masing-masing di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli berkata usaha itu bertujuan untuk memastikan perlindungan keadilan dan hak waris selain menyokong pelaksanaan diyat berasaskan syariah melalui kajian undang-undang dan takaful.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan Kementerian Pengangkutan yang sedang merangka pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

“Semoga keadilan ditegakkan dan kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya. Moga roh Allahyarham Amirul Hafiz Omar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya. 

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey memaklumkan seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat di Klang.

Insiden yang berlaku pada 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakaman video kemalangan itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain.

Sementara itu, cadangan pelaksanaan diyat turut mendapat perhatian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menyifatkan pendekatan itu wajar diperluas sebagai mekanisme pampasan segera kepada keluarga mangsa tanpa mengira bangsa dan agama.

Setiausaha Agung GPMS Wafiyuddin Musa dalam kenyataan berasingan berkata mekanisme itu lebih berkesan berbanding amalan sedia ada yang memerlukan keluarga mangsa memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan pampasan yang lazimnya memakan kos tinggi serta tempoh yang panjang.

“GPMS mencadangkan agar satu mekanisme pampasan mandatori kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan maut disebabkan oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya. 

Beliau berkata GPMS turut bersedia untuk menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada keluarga mangsa bagi membantu sebarang tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Wafiyuddin berkata GPMS turut mencadangkan agar konsep pemandu khas diperkasakan secara meluas melalui kempen nasional serta sokongan dasar kerajaan bagi memastikan individu yang mengambil alkohol tidak memandu.

“Di Malaysia, konsep seperti Buddy Driver oleh Trevo boleh diperkasa sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan pemanduan selamat. Langkah ini penting bagi memastikan individu yang mengambil alkohol tidak memandu, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan maut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan