Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 31 Mac (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) berada pada kedudukan yang baik untuk melengkapkan ekosistem kewangan Malaysia yang lebih luas dan mengukuhkan daya tarikan global negara, kata Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Affendi Rashdi.
Kedudukan Labuan IBFC dalam Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI 39) telah naik ke tempat ke-55 daripada ke-60 sebelum ini, menekankan peranannya yang semakin meningkat dalam ekosistem kewangan negara serta profil dan daya saing antarabangsanya.
“Diperingkat antara 120 pusat kewangan di seluruh dunia, kedudukan yang lebih baik itu menonjolkan trajektori pembangunan Labuan IBFC yang berpandangan ke hadapan dan peranannya yang semakin berkembang dalam landskap kewangan global,” katanya melalui satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
GFCI merupakan penanda aras yang diiktiraf di peringkat global yang menilai daya saing sesebuah pusat kewangan dan dianggap secara meluas sebagai salah satu penilaian paling berwibawa bagi hab kewangan terkemuka dunia.
Beliau berkata dalam penilaian terkini, Labuan IBFC adalah antara enam pusat kewangan teratas di rantau Asia Pasifik, menunjukkan pergerakan menaik dalam indeks itu, mencerminkan keunggulannya yang semakin melonjak di rantau tersebut.
“Pusat itu juga berkembang daripada kategori 'Pakar Antarabangsa' kepada kategori 'Pesaing Antarabangsa', menandakan pengaruhnya yang semakin mengukuh, keupayaan pasaran yang lebih luas dan peningkatan daya tarikan sebagai hab kewangan yang berdaya saing di peringkat global," katanya.
Affendi berkata melangkaui kedudukan keseluruhan, Labuan IBFC memperoleh tempat ke-37 di seluruh dunia untuk tawaran FinTechnya, meletakkannya di hadapan beberapa pusat serantau utama dan menekankan keupayaan inovasinya yang semakin mantap dalam teknologi kewangan.
“Ia juga diiktiraf antara 15 pusat kewangan teratas di seluruh dunia dengan kelebihan reputasi, mencerminkan peningkatan kesedaran tentang kekuatannya dan keyakinan yang semakin melonjak di kalangan pelabur antarabangsa.
“Labuan IBFC semakin diiktiraf sebagai pintu masuk yang selamat, boleh dipercayai dan terletak di lokasi strategik bagi aliran dana merentas sempadan, khususnya dalam Asia dan pasaran sedang pesat membangun.
Pendirian ini diperkukuhkan lagi dengan hasil kukuh Malaysia dalam Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) 2025, yang menyerlahkan peningkatan perlindungan negara terhadap aktiviti kewangan haram selain mengiktiraf Labuan IBFC sebagai sebahagian daripada kekuatan yang lebih luas dalam rangka kerja AML/CFT/CPF Malaysia,” tambahnya.
Diterajui oleh persekitaran kawal selia yang memudahkan perniagaan, kecekapan cukai dan keupayaan penstrukturan rentas sempadan yang lancar, Affendi berkata Labuan IBFC berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong penggemblengan modal, domisiliasi dana dan aktiviti pengurusan kekayaan untuk pelabur global.
“Kesalinghubungannya yang baik kepada sistem kewangan Malaysia meningkatkan lagi cadangan nilainya, menawarkan ekosistem dwi kewangan yang menggabungkan fleksibiliti antarabangsa dengan kedalaman domestik, kestabilan dan akses pasaran.
“Labuan IBFC juga sedang memajukan peranannya sebagai hab baru muncul untuk kewangan yang mampan dan berfokuskan iklim, sejajar dengan trend persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kewangan Islam global, termasuk tawaran seperti sukuk iklim dan ekosistem perkhidmatan kewangan digital Islam yang semakin berkembang.
“Labuan IBFC memperkuatkan daya tarikan global Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk dana antarabangsa yang mencari kestabilan, daya tahan serta pertumbuhan strategik, semuanya dalam satu pakej,” katanya lagi.
-- BERNAMA
