AM

PENDEKATAN BERHEMAH DALAM PERBELANJAAN AWAM PASTIKAN SUMBER NEGARA DIURUS SECARA BERKESAN - AGONG 

31/03/2026 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa pendekatan itu penting terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara, selain taklimat kos sara hidup serta langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.

Selain itu, taklimat turut menyentuh aspek keselamatan negara meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

Hantaran itu memaklumkan sesi taklimat berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan