PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melancarkan kempen minum susu segar secara besar-besaran mulai tahun ini sebagai langkah meningkatkan pengeluaran susu tempatan sehingga mencapai tahap sara diri (SSR) sepenuhnya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kempen itu juga bertujuan meningkatkan tahap pemakanan rakyat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang didapati menunjukkan pertumbuhan fizikal agak ketinggalan, antara lain disebabkan faktor pemakanan termasuk pengambilan makanan segera.
Beliau berkata pengambilan susu segar dilihat sebagai langkah penting dalam menyokong pertumbuhan kanak-kanak yang lebih sihat selain meningkatkan permintaan terhadap susu tempatan, sekali gus menggalakkan pengembangan industri tenusu negara.
“Jadi, kempen besar-besaran ini atas usaha tuan-tuan (semua pihak), termasuk penternak dan veterinar yang memberi bimbingan. Akhirnya susu segar akan mencapai SSR tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Bersama Pemain Industri di sini hari ini.
Mohamad berkata sebelum ini kempen sedemikian tidak dilaksanakan secara meluas kerana bekalan susu segar tempatan masih terhad, namun peningkatan kapasiti pengeluaran ketika ini membolehkan usaha berkenaan dipergiat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata dua subsektor yang masih ketinggalan dan memerlukan perhatian serius ialah ruminan serta padi dan beras, yang ketika ini berada sekitar tahap 53 peratus SSR.
Beliau berkata walaupun import makanan kadangkala lebih murah, negara perlu membina keupayaan pengeluaran domestik sekurang-kurangnya sehingga mampu menampung sekitar 70 peratus keperluan makanan bagi menghadapi sebarang krisis bekalan.
Mohamad berkata sektor perikanan negara telah menunjukkan pencapaian positif apabila pengeluaran ikan berjaya mencapai tahap sara diri melalui usaha memperkukuh aktiviti akuakultur, terutama ketika bot-bot besar menghadapi cabaran untuk turun ke laut.
Beliau turut menekankan kepentingan memperluaskan penanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan, yang menjadi antara faktor utama kepada kos pengeluaran industri ruminan.
Mohamad ketika mengulas mengenai Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata ia dijangka menjadi pemacu utama dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui peningkatan pengeluaran daging dan susu segar tempatan menjelang 2030.
Program itu menumpukan pelbagai inisiatif dan intensif melalui strategi khusus bagi membangunkan industri ruminan negara, mencapai 50 peratus SSR daging dan 100 peratus SSR susu segar tempatan menjelang 2030.
Pelaksanaan program itu adalah anjakan strategik kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui tiga program utama, iaitu Program Pengganda30, Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara dan Program Peningkatan Ruminan Kecil.
-- BERNAMA
