AM

DFP, MPO METERAI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN TOURISM MALAYSIA, SOKONG TMM2026

31/03/2026 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) memeterai kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia bagi memperkukuh landskap seni dan budaya di ibu negara, di samping menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

DFP dan MPO menerusi satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan memorandum persefahaman bagi kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif DFP/MPO Siti Azlina Abd Latif dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim pada 17 Mac lepas.

Majlis itu turut disaksikan Pengerusi DFP/MPO Norafizal Mat Saad dan Pengarah Kanan merangkap Ketua Sekretariat TMM2026 Mohd Akbal Setia.

Siti Azlina berkata kerjasama strategik itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi DFP yang merupakan sebuah dewan konsert utama di ibu negara dan MPO, orkestra terkemuka di rantau Asia Tenggara. 

"Kami amat berbangga dengan kerjasama bersama Tourism Malaysia. Kolaborasi seperti ini mampu menghasilkan kejayaan yang lebih besar berbanding bekerja secara berasingan. Bersama-sama, kita saling melengkapi dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam usaha menyokong TMM2026,” katanya dalam kenyataan itu.

Siti Azlina berharap dengan kerjasama itu akan dapat meletakkan DFP dan MPO bukan sahaja sebagai destinasi konsert bertaraf ‘premier’ tetapi juga sebagai sebahagian daripada perjalanan pelancongan budaya Malaysia yang lebih luas.

Menurut kenyataan itu, DFP dan MPO merupakan barisan hadapan dalam industri kreatif, mewakili tahap tertinggi persembahan seni dan budaya selama 28 tahun yang konsisten mempersembahkan program berkualiti tinggi dan artistik serta menyediakan platform apresiasi seni dan budaya bagi artis tempatan dan antarabangsa.

"Setiap musim konsert, DFP dan MPO menampilkan muzik merangkumi pelbagai genre seperti klasikal, pop, jazz, runut bunyi filem, anime serta tradisional dan etnik.

"Jenama ini hanya mempersembahkan pengalaman konsert premium yang memikat, memberi inspirasi, mendidik dan menyentuh hati penonton merentasi generasi dan sempadan. Tarikan budaya ini melengkapkan kempen TMM2026," maklum kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebagai rakan strategik, jenama DFP dan MPO akan diperluaskan ke peringkat global melalui integrasi di platform digital dan fizikal Tourism Malaysia di pusat maklumat luar negara.

"Kerjasama ini juga bakal menyaksikan penghasilan pakej menarik untuk rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa termasuk diskaun tiket konsert yang menarik serta lawatan ke dewan konsert,” katanya.

Selain itu ia turut membuka peluang kepada DFP dan MPO untuk meneroka penghasilan kandungan berbentuk budaya yang dicipta khas untuk kempen Tourism Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual konsert akan datang, orang ramai boleh melayari laman sesawang dfp.com.my dan mpo.com.my.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan