PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan membangkitkan isu-isu berkaitan krisis tenaga global yang sedang berlaku ke Kabinet untuk pertimbangan lanjut, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi melindungi bekalan selain menguruskan risiko ekonomi susulan peningkatan ketegangan geopolitik.
Akmal Nasrullah memberitahu krisis tenaga global yang sedang berlaku dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini dan topik berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok.
"Kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mengurangkan impak krisis malah paras bekalan semasa adalah mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei.
"Tumpuan kami pada masa ini adalah untuk memastikan kecukupan bekalan," katanya kepada pemberita pada Seminar Pemetaan Peluang Strategik untuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di sini hari ini.
Akmal Nasrullah menekankan kerajaan juga sedang berusaha memastikan kelangsungan bekalan dalam jangka sederhana.
Mengulas mengenai konflik berpanjangan di Asia Barat yang melanda lebih daripada sebulan, beliau berkata jangka masa terawal untuk stabil dijangka sekurang-kurangnya enam bulan dan mungkin berlanjutan hingga setahun kerana kemudahan yang musnah seperti kilang penapisan memerlukan masa untuk dipulihkan operasinya.
"Untuk memulakan semula operasi seperti kilang penapisan yang telah menjadi sasaran semasa konflik, ia memerlukan masa sebelum pemulihan sepenuhnya dapat dicapai," katanya.
Akmal Nasrullah berkata impak krisis ini tidak akan terhad kepada sektor tenaga terutamanya minyak dan gas, tetapi dijangka menular ke industri-industri lain.
"Apabila krisis tenaga global berlaku, kos input akan terjejas terutamanya untuk pengeluaran dan perkhidmatan. Ini akhirnya memberi impak kepada inflasi," katanya.
Oleh itu, kementerian sedang giat berhubung dengan pelbagai sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memahami dengan lebih baik impak sebenar di peringkat industri.
"Semalam, kami mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil PKS dari industri terpilih untuk memahami cabaran yang mereka hadapi selain mengenal pasti penyesuaian awal yang diperlukan di peringkat mereka.
"Kami tidak hanya bergantung pada data rasmi, tetapi juga memberi perhatian kepada pengalaman pemain industri untuk memastikan sebarang gangguan rantaian bekalan dapat ditangani lebih awal," kata Akmal Nasrullah.
Walaupun inflasi di Malaysia kekal terkawal buat masa ini, terdapat jangkaan bahawa tekanan kos mungkin meningkat apabila industri mula merasai kesan sepenuhnya daripada krisis tenaga global, katanya.
"Inflasi masih terkawal pada masa ini. Namun, kita perlu bersedia bahawa kos input terutamanya yang berkaitan dengan tenaga akan meningkat dan memberi tekanan kepada harga," kata Akmal Nasrullah.
-- BERNAMA
