KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Institut Latihan Perhutanan (Fortrain) perlu terus memperkukuh latihan berasaskan teknologi moden bagi memastikan pelatih kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran perhutanan masa kini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Arthur berkata penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem maklumat geografi (GIS), penderiaan jauh dan dron perlu diperkasa dalam latihan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan hutan.
Beliau berkata ancaman di kawasan perhutanan kini semakin kompleks apabila pemburu dan pembalak haram menggunakan teknologi lebih canggih, justeru renjer perlu dilengkapi dengan kemahiran teknologi bagi menanganinya.
“Jadi, untuk memastikan renjer kita sentiasa dapat menangani ancaman seperti ini, mereka juga mesti mengaplikasikan teknologi moden agar dapat bersaing dengan ancaman yang semakin moden,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan 100 Tahun Fortrain serta perasmian bangunan asrama institusi itu di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan AI turut memperkukuh kerjasama antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam melaksanakan pemantauan hutan melalui teknologi satelit tanpa perlu ke lapangan.
Arthur berkata Fortrain perlu terus berkembang selari dengan kemajuan teknologi memandangkan kaedah pengawasan hutan pada 1926 jauh berbeza berbanding masa kini.
“Namun, kecanggihan teknologi tidak bermakna tanpa kebijaksanaan manusia yang mengendalikannya. Gabungan teknologi pintar dan ketajaman pemikiran manusia merupakan benteng pertahanan negara yang sebenar.
“Sinergi ini akan melahirkan warga perhutanan yang berintegriti tinggi, berani membuat keputusan tepat serta sentiasa memikirkan masa depan negara,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut merasmikan dua bangunan asrama baharu Fortrain yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan RM20.8 juta.
Bangunan yang siap pada Februari tahun lepas itu menyediakan 98 bilik dan mampu menempatkan 196 pelatih pada satu-satu masa.
-- BERNAMA
