ARAU, 3 April (Bernama) -- Tekad untuk mengubah nasib keluarga mendorong seorang anak nelayan dari Kuala Sanglang, dekat sini Nur Diana Zahirah Yusni, 18, belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata melihat kepayahan bapanya Yusni Mat Yusop, 50, turun ke laut awal pagi untuk mencari rezeki bagi memenuhi keperluan keluarga mendisiplinkan dirinya mengekalkan semangat dalam pembelajaran.
"Saya bertekad mahu ubah nasib keluarga, nak sara ayah, nak bantu dari segi kewangan ubah hidup mak ayah. Mak saya tidak bekerja, ayah seorang sahaja bekerja. Ayah kalau turun ke laut pukul 4 pagi contohnya, 4 pagi esoknya baru balik rumah.
"Pernah ayah tak balik rumah dua, tiga hari. Ayah (juga) pernah tak sihat, dia tetap turun ke laut demi mencari rezeki untuk kami sekeluarga," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Rahmah Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil di rumahnya di Kuala Sanglang dekat sini hari ini.
Nur Diana Zahirah yang merupakan calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang itu berkata antara tip kejayaannya adalah dengan membuat latih tubi soalan-soalan SPM yang lepas selain menyertai kelas tambahan yang dilaksanakan guru di sekolahnya itu.
Beliau yang memperoleh 2A+, 5A dan 2A- bercita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris dan telah memohon menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Sementara itu, ibunya Rozini Radzi, 48, berkata anaknya itu sememangnya menunjukkan minat belajar sejak kecil dan menonjolkan kesungguhan untuk berjaya dalam peperiksaan berkenaan.
Terdahulu, pada program Ziarah Rahmah itu, Nur Diana Zahirah menerima bantuan RM1,000 daripada LKIM, manakala Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) masing-masing menyumbang sebanyak RM500, selain bakul makanan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan.
-- BERNAMA
