ARAU, 3 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyeru nelayan di negara ini yang masih belum berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) supaya mendaftar sebagai ahli untuk memastikan tidak tercicir daripada menikmati manfaat kebajikan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata kepentingan menjadi ahli persatuan nelayan itu adalah untuk memastikan ada rekod lengkap bagi membolehkan pelbagai insentif dan bantuan dapat disalurkan secara terus dengan mudah bagi menjamin kebajikan mereka dan keluarga.
“Kalau ada apa-apa masalah, ada bantuan akan bantu nelayan ini. Jika tak berdaftar dengan persatuan nelayan maka tak ada rekod dia sebagai nelayan dan akan tercicir. Antara kelebihan berdaftar dengan persatuan nelayan ada bantuan bencana alam, khairat kematian dan pendidikan anak-anak.
“Selain insentif dan bantuan daripada LKIM, NEKMAT (Persatuan Nelayan Kebangsaan) juga ada pelbagai bantuan untuk kebajikan nelayan,” katanya semasa program Ziarah Rahmah Pengerusi LKIM terhadap anak nelayan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Kuala Sanglang dekat sini hari ini.
Calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang Nur Diana Zahirah Yusni, 18, memperoleh keputusan 9A, iaitu 2A+, 5A dan 2A- dalam peperiksaan itu.
Pada program itu, Nur Diana Zahirah menerima bantuan RM1,000 daripada LKIM manakala NEKMAT dan Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS) masing-masing menyumbang RM500, selain bakul makanan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan.
Muhammad Faiz berkata setakat ini terdapat kira-kira 80,000 nelayan berdaftar sebagai ahli persatuan nelayan itu di seluruh negara dan beliau percaya masih banyak lagi nelayan di luar sana belum berbuat demikian.
Beliau berkata yuran pendaftaran sebagai ahli persatuan nelayan itu hanya RM2 setahun yang sememangnya sangat murah berbanding pelbagai manfaat kebajikan yang bakal dinikmati nelayan.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata pihaknya akan membantu Nur Diana Zahirah jika dia memerlukan bantuan menyambung pengajian selepas ini seperti membayar yuran pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi yang memberikan tawaran.
-- BERNAMA
