AM

MDEC, JAKIM BEKERJASAMA SEDIA KEMUDAHAN AI DI INSTITUSI PERINTIS DI ENAM NEGERI

03/04/2026 08:21 PM

KUANTAN, 3 April (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama menyediakan kemudahan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) di institusi perintis di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan di institusi pengajian dan institusi pengajian Islam di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang dengan sasaran penglibatan kira-kira 3,000 pelajar.

“Semua pelajar di negara ini harus lebih terdedah dengan kemudahan AI…,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Pahang MADANI di pekarangan UTC Kuantan di sini hari ini.

Beliau berkata melalui inisiatif itu, pelajar di Malaysia akan lebih terdedah kepada teknologi AI dan mampu mengembangkan pemikiran kritis serta inovasi digital.

Anwar juga menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau ijazah semata-mata sebaliknya bertujuan melahirkan individu yang mampu berfikir secara rasional dan menilai maklumat dengan bijaksana.

“Negara ini boleh muncul sebagai sebuah negara hebat hanya apabila pelajar dan belia memutuskan untuk bekerja keras, berdisiplin, saling menghormati serta bertindak dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan projek menaik taraf gelanggang futsal di Kampung Bukit Bay Route bernilai RM600,000 dan meluluskan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan dewan pembelajaran baharu di Pusat Pengajian Islam Ribat Al-Mustafa, Sungai Karang untuk pelajar tahfiz.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan RM1 juta kepada pelajar B40 Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota daripada wakil Yayasan YTL Datuk Sharom Mohamed kepada Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi. 

Anwar turut menyaksikan penyerahan Dana Sukan Komuniti bernilai RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang. 

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan