AM

ANWAR BUKA RUANG BINCANG DENGAN PEMBANGKANG CARI SOLUSI TANGANI KRISIS TENAGA GLOBAL

04/04/2026 01:35 PM

KUALA KANGSAR, 4 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang serta mana-mana pihak yang berhasrat untuk berbincang bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian menangani krisis tenaga global.

Beliau menegaskan sebarang teguran atau komentar berhubung pengurusan ekonomi negara, terutama membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia, seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, dan bukannya sekadar kritikan kosong.

"Krisis ekonomi bukan di tangan kita walaupun saya lihat kadang-kadang jeritan pembangkang itu canggih. Seluruh dunia digemparkan dengan krisis, bukan sahaja krisis minyak dan gas, krisis ekonomi, bukan sahaja isu Selat Hormuz, tetapi seluruh pengeluaran minyak itu terjejas.

“Harga minyak naik, dikritik saya dan kerajaan. Padahal sedaya upaya kita ikhtiar, RON95 itu di antara paling rendah di dunia… Untuk petani, nelayan, pengangkutan awam, semua diberikan subsidi, satu bulan RM6 bilion. Jadi inilah masa kita bincang secara baik (melibatkan) parti kerajaan, parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh,  Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ahli Dewan Negara merangkap Presiden Old Cliffordians’ Association Senator Datuk Salehuddin Saidin.

Anwar menegaskan kerajaan mengambil langkah terbaik menangani krisis itu tanpa mengabaikan bebanan rakyat.

Beliau berkata dalam kalangan negara jiran ASEAN sudah ada negara yang terpaksa membuat catuan akibat kekurangan bekalan minyak.

“Di sebuah negara ASEAN, 400 stesen minyak (telah) ditutup. Renungkan perkara ini, kita ini bukan terkecuali daripada permasalahan ini.

“Sebab itu saya ajak rakan-rakan, ingat, yang mampu kita lakukan. Saya dah batalkan semua lawatan pemimpin, menteri ke luar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi,” kata beliau.

Pada 2 April, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan