KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hari ini.
Ucapan takziah itu dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Dr Ling, 82, yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA meninggal dunia pagi ini.
Bekas Presiden MCA itu antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan, selain menerajui MCA selama 17 tahun.
Mendiang pernah menjadi Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 serta Ahli Parlimen Labis selama empat penggal dari 1986 hingga 1999.
Sepanjang tempoh itu, beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan.
Jawatan terakhir mendiang ialah sebagai Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga meletak jawatan pada 2003.
-- BERNAMA
