AM

NELAYAN PAPAR TERHIMPIT, RAYU BUDI BICARA

04/04/2026 03:15 PM

PAPAR, 4 April (Bernama) -- Nelayan pesisir pantai di sini memohon agar kerajaan dan agensi berkaitan mempertimbangkan pemberian budi bicara bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti menangkap ikan di kawasan Taman Negara Pulau Tiga.

Pengerusi Persatuan Nelayan Papar Kamis Jat berkata permohonan itu dibuat susulan pewartaan kawasan berkenaan yang menyebabkan zon tangkapan nelayan semakin mengecil, sekali gus menjejaskan kira-kira 340 ahli persatuan itu.

“Kawasan perairan yang diwartakan dianggarkan seluas kira-kira 119 kilometer persegi mengehadkan kawasan tangkapan nelayan pesisir,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun kawasan itu telah diwartakan sejak 1982, nelayan sebelum ini masih diberi budi bicara untuk menangkap ikan, namun penguatkuasaan diperketat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kamis berkata terdapat nelayan yang terpaksa berlabuh di kawasan berkenaan sebagai perlindungan sementara ketika berdepan cuaca buruk termasuk angin kencang.

Beliau berkata cadangan untuk beralih kepada operasi laut dalam bukan penyelesaian mudah berikutan kekangan geografi termasuk keadaan muara Kuala Papar yang cetek dan menyukarkan pergerakan bot besar.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah Mohd Jamil Abdullah berkata pendekatan holistik melibatkan pelbagai agensi perlu digerakkan bagi membantu nelayan yang terjejas.

“Perlu ada satu perancangan bagaimana untuk membantu nelayan-nelayan ni. Sebab kesan daripada pewartaan, sebenarnya menjejaskan pendapatan nelayan. Mereka tidak dapat menangkap ikan di situ. Mereka ini bawa bot-bot kecil, memang dia tak boleh pergi jauh,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis Datuk Pangiran Saifuddin Pangiran Tahir berkata elemen keprihatinan perlu diberi perhatian khususnya apabila nelayan hanya berlindung ketika laut bergelora dan bukan untuk menangkap ikan.

“Nelayan pesisir Papar ini tidak terlibat dengan pengeboman ikan yang merosakkan terumbu. Mereka menggunakan kaedah tradisional, jadi penguatkuasaan perlu lebih bersasar kepada pihak yang benar-benar melakukan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau turut menggalakkan nelayan meneroka aktiviti hiliran seperti pemprosesan hasil laut dan akuakultur bagi meningkatkan pendapatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan