JENAYAH & MAHKAMAH

OPERASI SAR TIGA INDIVIDU DIKHUATIRI LEMAS DI DUA LOKASI DI PAHANG DITERUSKAN

04/04/2026 06:09 PM

KUANTAN, 4 April (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai Sepat di sini dan Kampung Durian Hijau, Jerantut diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata operasi mencari nelayan, Mohd Ishak Ismail, 63, yang hilang di Pantai Sepat telah memasuki hari ketiga. 

“Operasi SAR itu melibatkan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah kenderaan serta sebuah bot, dengan kaedah pencarian di sepanjang persisiran pantai dan di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Mohd Ishak keluar dari Jeti Tanjung Api kira-kira 10 pagi Rabu lepas (1 April) dan kebiasaannya akan pulang keesokan hari di jeti yang sama, namun gagal dikesan sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa pada Khamis. 

Sementara itu, Mohd Salahuddin berkata operasi mencari Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, kedua-duanya berusia 14 tahun yang hilang ketika mandi di Sungai Pahang di Kampung Durian Hijau, turut digiatkan.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah melakukan selaman di lokasi mangsa dipercayai jatuh dan di beberapa laluan aliran air. Tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau pula menjalankan pencarian di permukaan air,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan