AM

MENTERI KABINET, MENTERI BESAR UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN DR LING

04/04/2026 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Menteri Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pagi ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebook menyifatkan Dr Ling sebagai antara tokoh penting dalam politik negara dan sumbangan mendiang akan terus dikenang serta dihargai.

Menteri Digital Gobind Singh Deo turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh berkenaan yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Jasanya akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negara. Semoga beliau bersemadi dengan aman, dan semua ahli keluarga serta sahabat handai dikurniakan ketabahan untuk mendepani kehilangan ini,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menghargai pengorbanan bekas Presiden MCA keenam itu dalam pembangunan masyarakat serta mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menghadapi saat sukar ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan pula menyifatkan pemergian Dr Ling sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan memartabatkan pendidikan.

Selain itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menzahirkan ucapan takziah diatas pemergian Dr Ling yang disifatkan mereka sebagai kehilangan besar buat negara.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin pembina negara, penyatu masyarakat dan berwawasan.

“Walaupun selepas bersara daripada politik, dedikasinya tidak pernah luntur. Beliau terus menumpukan usaha dalam memajukan pendidikan, memastikan visinya kekal berterusan melangkaui tempoh perkhidmatannya.

“Legasinya akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya dan kehidupan yang dilaluinya," katanya.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran menyifatkan pemergian Dr Ling sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan sebagai seorang negarawan berprinsip yang banyak menyumbang kepada Malaysia.

Dr Ling meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri, Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Beliau merupakan antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga meletak jawatan pada 2003.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata segala jasa, pengorbanan dan sumbangan Dr Ling akan sentiasa dikenang dan dihargai.

"Mewakili Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh rakyat negeri ini, khususnya masyarakat Tionghua, saya menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian tokoh yang disegani ini," katanya.

Ab Rauf berkata sebagai Presiden keenam MCA, kepimpinan mendiang dari 1986 hingga 2003 menyumbang kepada kestabilan politik khususnya kepada Barisan Nasional (BN) serta pembangunan masyarakat dan komuniti Tionghua di negara ini.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Pengangkutan telah memainkan peranan besar dalam usaha memodenkan sektor pengangkutan dan pelabuhan negara, yang menjadi antara pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan