AM

PEMERGIAN DR LING KEHILANGAN BESAR KEPADA NEGARA - AHMAD ZAHID

04/04/2026 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Beliau berkata mendiang dikenang sebagai seorang tokoh yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, khususnya dalam membangunkan sektor pengangkutan negara serta memperkukuh institusi pendidikan yang memberi manfaat kepada generasi hari ini.

Ahmad Zahid berkata sepanjang perjalanan kepimpinannya, Dr Ling memperlihatkan komitmen dan kecintaan yang mendalam terhadap negara dan parti, khususnya ketika keberadaannya di dalam Barisan Nasional (BN).

“Jasa dan sumbangan beliau (Dr Ling) akan terus terpahat dalam lipatan sejarah serta dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kepada keluarga mendiang, saya doakan agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini. Negara turut berkabung bersama kalian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Ling, 82, yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA , meninggal dunia pagi ini.

Bekas Presiden MCA itu antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan