ROM, 6 April (Bernama-Xinhua) -- Konflik yang sedang berlanjutan di Asia Barat boleh meningkatkan risiko terhadap keterjaminan makanan global, khususnya bagi negara yang sangat bergantung kepada import makanan, baja dan bahan api, kata Ketua pakar ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Maximo Torero.
Dalam sesi temu bual baru-baru ini bersama Xinhua, Torero berkata krisis itu mendedahkan kerentanan negara yang mempunyai pengeluaran domestik terhad dan sangat bergantung kepada laluan bekalan luar.
"Garis pemisah sebenar bukan sekadar antara negara kaya dan miskin. Sebaliknya, ia antara negara yang mempunyai penampan domestik dan yang tidak memilikinya," kata beliau.
FAO dalam laporan terkininya memberi amaran bahawa gangguan di sekitar Selat Hormuz boleh meningkatkan kos di seluruh sistem agromakanan serta menambah tekanan ke atas ekonomi yang terdedah.
Torero berkata beberapa negara Teluk sangat terdedah walaupun kaya, kerana amat bergantung kepada import makanan dan perdagangan laut.
Sumber kewangan mungkin dapat memberi kelegaan jangka pendek, namun tidak mampu menggantikan sumber bekalan yang terganggu.
Beliau juga menyifatkan Asia Selatan dan beberapa bahagian Afrika Sub-Sahara sebagai kawasan yang membimbangkan.
Di wilayah ini, gangguan terhadap bekalan baja dan tenaga boleh memberi kesan pantas kepada pengeluaran pertanian, khususnya pada musim penanaman.
Negara yang mempunyai ruang fiskal terhad akan menghadapi kesukaran lebih besar untuk menyerap kenaikan kos import atau membuat pembelian kecemasan, katanya.
"Bagi negara berpendapatan rendah yang sudah menggunakan input pertanian yang sangat terhad, walaupun pengurangan bekalan kecil boleh menyebabkan kehilangan pengeluaran yang tidak seimbang," kata Torero.
Amaran itu dikeluarkan ketika FAO terus memantau pasaran makanan global.
Torero berkata kerajaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada harga makanan sebagai isyarat awal tekanan, sebaliknya turut memantau harga baja, bekalan gas ke loji baja, aliran perkapalan dan kos insurans maritim.
Beliau menekankan bahawa sulfur sebagai faktor kritikal tetapi sering terlepas pandang.
Walaupun kurang diperkatakan berbanding minyak atau gas, sulfur penting untuk pengeluaran baja fosfat, dan gangguan bekalannya boleh memberi kesan meluas melangkaui zon konflik.
Ketika konflik terus menjejaskan pasaran tenaga, baja dan perkapalan, tindakan awal diperlukan bagi mengurangkan risiko tekanan yang lebih meluas terhadap sistem makanan global, katanya.
-- BERNAMA-XINHUA
