AM

LEBIH 20 PROGRAM DISUSUN SEMPENA ULANG TAHUN KE-23 BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH

06/04/2026 12:49 PM

MELAKA, 6 April (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menganjurkan lebih 20 program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah, tahun ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata insiatif berkenaan bertujuan meraikan sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah pada setiap 15 April, sekali gus mengeratkan hubungan warga bandar raya dengan MBMB serta mengekalkan keharmonian Bandaraya Melaka.

Beliau berkata program yang dianjurkan meliputi pelbagai segmen antaranya kerohanian dan kemasyarakatan termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Bacaan Yasin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dianjurkan secara berperingkat bermula bulan ini, manakala Majlis Doa Kesyukuran dan Bacaan Yasin pula akan diadakan di Masjid Al-Azim pada 16 April.

"Sambutan ini menandakan detik bersejarah penganugerahan status bandar raya kepada Melaka yang bukan sahaja sebagai destinasi sejarah, malah simbol perpaduan dan keharmonian antara pelbagai budaya yang ada di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santuni Kasih Aidilfitri bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah yang disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Dalam perkembangan lain, Shadan berkata pelbagai program turut dianjurkan setiap hujung minggu, khususnya di Banda Hilir termasuk di Zon Bebas Kenderaan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2.0 pada tahun ini.

Beliau berkata penganjuran itu melibatkan pelbagai program kesenian dan kebudayaan membabitkan pelbagai kaum di Melaka, sekali gus menjadi daya tarikan utama pelancong ke negeri itu.

Katanya, usaha mengindahkan kawasan Bandaraya Melaka dan menyelenggara fasiliti serta produk pelancongan juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekalkan status Melaka sebagai tapak warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan