AM

UPTM PERKASA KEUSAHAWANAN DIGITAL KOMUNITI, KELUARGA ANGKATAN TENTERA

06/04/2026 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) memperkukuh kemahiran keusahawanan digital dalam kalangan komuniti dan keluarga Angkatan Tentera menerusi penganjuran program Empowering Digital Business bersama dengan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

Dalam kenyataan hari ini, UPTM memaklumkan program yang berlangsung di Kem Sungai Besi itu melibatkan 150 peserta dalam kalangan ahli BAKAT, khususnya daripada kumpulan B40.

Mereka diberi pendedahan mengenai strategi pemasaran digital, pembangunan jenama dan pengurusan kewangan perniagaan bagi tujuan meningkatkan keupayaan menjana pendapatan serta memperbaiki taraf hidup melalui ekonomi digital.

UPTM memaklumkan bahawa peserta turut mengikuti sesi interaktif yang memberi tumpuan kepada penggunaan platform digital seperti TikTok, Instagram, Telegram dan WhatsApp for Business, selain terlibat dalam aktiviti praktikal yang membolehkan peserta terus mengaplikasikan teknik pemasaran digital untuk menjana pendapatan secara sistematik, menurut kenyataan itu.

“Program itu juga menekankan literasi kewangan merangkumi penyediaan rekod akaun, pengiraan untung rugi serta pemahaman tentang tanggungjawab cukai dan pelepasan cukai, bagi melahirkan usahawan yang bukan sahaja kreatif, malah cekap mengurus aliran tunai,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UPTM Prof Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh dalam kenyataan yang sama berkata program itu membuka peluang luas kepada keluarga BAKAT untuk menceburi bidang keusahawanan digital, selain meningkatkan keupayaan mengurus kewangan keluarga secara berkesan.

“Sinergi antara institusi pendidikan dan komuniti mampu menghasilkan impak ekonomi yang signifikan dan menyokong pembangunan ekonomi digital negara,” katanya.

UPTM dalam kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebanyak 656 pelajar dan pensyarah Fakuliti Perniagaan dan Perakaunan UPTM turut terlibat dalam pengendalian program, termasuk penganjuran 25 buah pameran interaktif yang memfokuskan pemasaran digital, khidmat nasihat perakaunan dan inovasi perniagaan.

Program itu turut mendapat sokongan jenama terkemuka seperti Farm Fresh, Hausboom, F&N, Nestlé, dan Dino Monster, yang menjadi pemangkin kepada kualiti penganjuran.

“UPTM merancang untuk meneruskan inisiatif ini melalui siri program lanjutan dan sesi bimbingan, selaras dengan matlamat SULAM (Service-Learning Malaysia–University for Society) yang menekankan kelestarian program berimpak jangka panjang,” menurut kenyataan UPTM.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan