AM

KARAM SINGH WARTAWAN YANG MENEPATI MASA, PENTINGKAN KESEMPURNAAN KETIKA BERTUGAS - RAKAN

06/04/2026 04:20 PM

KLANG, 6 April (Bernama) -- Mendiang Datuk Karam Singh Walia disifatkan sebagai seorang petugas yang sentiasa menepati masa serta mementingkan kesempurnaan dalam setiap pelaporan sepanjang kerjayanya sebagai wartawan.

Pengurus Besar On-Air Presentation (OAP) Media Prima Kamaruddin Mape, yang mengenali mendiang sejak 1997 berkata disiplin tinggi Karam Singh terhadap ketepatan masa turut terserlah dalam rutin hariannya di tempat kerja, apatah lagi mereka pernah menjadi rakan semeja dan duduk bersebelahan.

Beliau berkata mereka saling mengingatkan antara satu sama lain sekiranya ada yang lewat hadir ke pejabat, sekali gus mencerminkan komitmen mendiang terhadap profesionalisme.

Kamaruddin berkata kepetahan dan kemahiran Karam Singh dalam penyampaian laporan juga antara aspek yang wajar dikenang dan dihormati oleh pelapis industri.

“Dia telah meletakkan satu standard penyiaran televisyen yang tinggi sehingga dia dijadikan sebagai rujukan orang untuk membantu pelajar universiti dan juga mereka yang berkecimpung dalam industri penyiaran.

“Setakat ini saya tak jumpa ada yang mampu buat macam dia, ada yang cuba buat tapi tak sampai,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi rakan mendiang Mohammad Yazzer Mahmun, 56, berkata antara pesanan yang paling diingatinya ketika bertugas bersama mendiang adalah supaya sentiasa ikhlas dalam melaksanakan apa jua tugasan.

Mohammad Yazzer yang kini bertugas sebagai Wakil Rangkaian Media Prima Sabah berkata beliau sering menghubungi Karam Singh untuk mendapatkan pandangan serta nasihat, khususnya berkaitan isu-isu aduan rakyat yang menjadi kepakaran mendiang.

“Semalam saya sempat melawat mendiang dan keluarganya sediakan saya makan chapati. Saya nak makan dua, dia kata tiga sebab kita ingat kita TV3 kena habiskan makan tiga. Jiwanya tetap bersama TV3 dan dia seorang wartawan yang sangat saya segani dan banyak mengajar saya di dunia penyiaran.

“Boleh dikatakan setiap bulan, setiap minggu, kita berhubung. Setiap bulan saya datang sini, saya akan jumpa dia. Jadi ibaratnya, malam semalam adalah malam terakhir. Dia menunggu kehadiran saya sebelum mendiang menghembuskan nafas terakhir. Kita kehilangan seorang tokoh kewartawanan,” katanya yang mengenali beliau sejak 1994.

Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak, dalam keluarga bekas anggota polis, Karam Singh, 67, memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Beliau, yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini, pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.

Mendiang juga antara penerima Tabung Kasih@HAWANA dalam kalangan pengamal media pada Jun 2024.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan