KOTA BHARU, 6 April (Bernama) -- Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada industri bas persiaran agar kekal kompetitif dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Timbalan Presiden Pebat Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata tanpa subsidi diesel, kos operasi akan melonjak akibat kenaikan harga diesel serta alat ganti, dan ia berisiko menyebabkan pengusaha industri itu gulung tikar.
“Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 1,000 pengusaha bas persiaran dengan jumlah bas pula lebih 5,000. Subsidi diesel ini amat penting sebagai mekanisme kawalan harga tambang dan ia bukan sahaja menyelamatkan pengusaha bas, malah untuk memastikan industri pelancongan tidak lumpuh.
“Sebelum ini, Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia telah menghantar surat kepada kementerian berkaitan untuk memaklumkan perkara ini tetapi setakat ini respons belum lagi diterima,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya bersedia berjumpa serta berbincang dengan pihak kerajaan berhubung perkara itu, dan akan mematuhi syarat yang diberikan sekiranya difikirkan munasabah.
Sementara itu, seorang pengusaha bas di Melor Mohamad Fakkarudin Ibrahim, 32, berkata kesan kenaikan harga diesel memaksa dia membatalkan beberapa trip perjalanan kerana bayaran yang diminta pelanggan tidak setimpal dengan kadar yang diberikan oleh pihaknya.
“Jika pelanggan tidak mampu membayar kadar yang diberikan kepada mereka, kami terpaksa batalkan sebab apabila harga diesel naik, semua barang akan naik dan pembekal awal-awal maklumkan kepada kami bahawa alat ganti kenderaan atau tayar juga jadi mahal sebab harga minyak naik,” katanya yang mempunyai 20 bas dan 15 pekerja.
Pemandu bas persiaran Mohd Azuan Hamid, 45, pula berkata situasi itu boleh menyebabkan mereka hilang punca pendapatan akibat berlaku kekurangan tempahan bas berkenaan.
“Saya harap kerajaan dapat bantu kami dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas persiaran untuk meneruskan kelangsungan hidup serta merancakkan ekonomi dan pelancongan negara,” katanya.
Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April dengan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter susulan krisis tenaga global yang berlarutan.
-- BERNAMA
