KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Budaya kerja di Malaysia yang serba pantas dengan waktu kerja panjang dan keperluan sentiasa berhubung, boleh mengakibatkan tekanan kronik dan lesu upaya atau burnout, sekali gus meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Pegawai Perubatan Residen di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Wee Hui Yin berkata pesakit jarang menyebut istilah burnout, namun mereka kerap menunjukkan tanda-tanda stres semasa sesi konsultasi dan penilaian sejarah kesihatan.
“Ramai tidak memanggilnya burnout, tetapi ia muncul dalam bentuk keletihan, kerengsaan, masalah tidur dan toleransi yang lebih rendah di tempat kerja serta di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Wee berkata kadar lesu upaya di Malaysia sangat membimbangkan, dengan 67 peratus pekerja melaporkan burnout pada 2024, lonjakan ketara daripada 58 peratus pada 2022, sambil menambah golongan Millenial dan Gen Z adalah golongan paling lantang bersuara.
Walau bagaimanapun, beliau berkata golongan dewasa pertengahan usia mungkin lebih terdedah kerana menjadi “generasi sandwic”, iaitu perlu mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa yang menua, serta sering memendam tekanan daripada menanganinya secara langsung, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan jangka panjang mereka.
Melihat kepada perubahan berkenaan, Dr Wee berkata syarikat kini menyedari bahawa menyokong kesejahteraan pekerja bukan sekadar memberikan sokongan emosi.
Beliau berkata kesejahteraan di tempat kerja kini memerlukan sistem lebih holistik yang menggabungkan penilaian kesihatan fizikal dengan bimbingan gaya hidup dan sokongan kesejahteraan emosi.
Menurutnya, tubuh manusia mengalami dua masalah kesihatan berbeza apabila terdapat stres beterusan, iaitu pertama malasah fisiologi dengan pendedahan berpanjangan kepada hormon stres seperti kortisol boleh menyebabkan peningkatan tahap gula dalam darah, kolestrol jahat yang lebih tinggi, pengumpulan lemak visceral lebih besar dan tekanan darah tinggi.
Pesakit juga boleh mengalami kemurungan, kebimbangan, gangguan tidur dan tabiat mengambil minuman keras pada tahap berbahaya, seterusnya membawa risiko kesihatan lebih serius.
“Perubahan ini secara ketara meningkatkan risiko diabetes, hipertensi dan penyakit jantung. Stres juga menyebabkan keradangan dan pengerasan arteri. Inilah sebabnya mengapa sesetengah orang menghidap masalah jantung walaupun tiada faktor risiko yang jelas,” kata Dr Wee.
Dr Wee berkata program saringan kesihatan syarikat tidak akan mencapai hasil bermakna jika hanya tertumpu kepada ujian tahunan, tanpa susulan perubatan dan intervensi gaya hidup sesuai.
“Sesetengan pesakit datang setiap tahun, tetapi keputusan kesihatan mereka tetap sama. Sering kali, ia bukan kerana kurangnya kesedaran, tetapi kekurangan masa, bimbingan dan sokongan, ditambah pula dengan waktu kerja panjang, rutin tidak sihat dan perasaan tidak tahu di mana harus bermula. Ini bermakna tiada perubahan sebenar telah dilakukan,” katanya.
Menurut Dr Wee, rutin kesihatan pencegahan memerlukan pemantauan berkala terhadap tekanan darah, glukosa dan tahap kolesterol, indeks jisim badan (BMI), lilitan pinggang, fungsi buah pinggang, tahap stres dan kualiti tidur.
Keputusan ujian ini harus digunakan untuk mengubah cara hidup dan mendapatkan rawatan susulan, dan bukan sekadar menjadi laporan pemeriksaan kesihatan biasa.
Dr Wee berkata pendekatan holistik yang menggabungkan penjagaan perubatan dengan gaya hidup, diet dan kesihatan mental, menggunakan perubatan gaya hidup, kami sentiasa menggalakkan pemakanan sihat, pengurusan stres dan tidur berkualiti memandangkan penyakit kronik terus meningkat di Malaysia.
Dr Wee merujuk kepada “Zon Biru” dunia seperti Okinawa (Jepun), Loma Linda (California, Amerika Syarikat) dan Sardinia (Itali), dengan penduduknya secara konsisten hidup lebih lama, lebih sihat dan kurang menghidap penyakit kronik.
“Komuniti ini berkongsi formula mudah yang kami panggil Power of 9. Mereka bergerak secara semula jadi setiap hari, makan hidangan berasaskan tumbuhan, menguruskan stres dengan baik dan mengekalkan hubungan sosial yang kuat. Ia bukan tentang rutin tegar atau matlamat kesihatan yang tidak realistik.
“Matlamatnya adalah untuk membantu individu membuat perubahan kecil yang praktikal supaya mereka mampu amalkannya secara berterusan. Ini boleh dicapai dengan berjalan lebih banyak di tempat kerja, menyediakan hidangan berkhasiat di rumah dan meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga,” katanya.
Bagi individu yang rasa “terlalu sibuk” untuk mengutamakan kesihatan mereka, nasihat Dr Wee adalah mudah, mula secara kecil-kecilan dan mula sekarang, mengembalikan keseimbangan tidak memerlukan perubahan gaya hidup yang menyeluruh secara mendadak.
Beliau mengesyorkan supaya mengamalkan rehat singkat untuk berjalan atau lakukan regangan setiap beberapa jam bagi meningkatkan fokus dan menghilangkan stres, pergerakan tidak semestinya senaman formal, seperti kerapkan berdiri, gunakan tangga, letak kenderaan lebih jauh atau berjalan sebentar.
Untuk stress akut, Dr Wee mengesyorkan teknik square breathing iaitu tarik nafas, tahan, hembus dan berhenti selama empat saat setiap satu untuk tempoh satu hingga dua minit, selain tidur berkualiti adalah penting dengan sasaran tujuh hingga sembilan jam setiap malam, dan elakkan penggunaan peranti lewat malam kerana ia boleh mengganggu proses pemulihan badan.
Beliau berkata budaya tempat kerja memainkan peranan utama, kerana budaya yang menuntut waktu kerja panjang dan keperluan untuk sentiasa terhubung boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja sekali gus menjejaskan kualiti kerja mereka.
“Berada di tempat kerja lebih lama tidak bermakna anda lebih efektif,” katanya, sambil menambah menawarkan sokongan praktikal seperti pusat asuhan kanak-kanak, batasan kerja jelas, amalan penjagaan diri dan kepimpinan sihat membantu mengurangkan stres dan lesu upaya, terutamanya bagi golongan penjaga di fasa pertengahan kerjaya mereka.
-- BERNAMA
