ALOR SETAR, 7 April (Bernama) -- Keluarga kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani, Sabtu lepas, mahu laporan lengkap dan telus berkaitan tragedi itu disediakan oleh pihak berkaitan.
Ibu saudara kepada mendiang Joey Ling Lin Siang, yang dikenali sebagai Kee Ching Ching, 46, berkata pihak keluarga berharap laporan disediakan secara telus, terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) semasa melakukan aktiviti berkayak.
"Kami juga ingin tahu sama ada lokasi kejadian sesuai untuk aktiviti berkayak dan berharap agar Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menilai semula sukatan pelajaran membabitkan aktiviti luar kelas," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, tengah malam tadi.
Kee berkata pihak keluarga berharap kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
Dalam kejadian Sabtu lepas, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani.
Difahamkan, mangsa lelaki berasal dari Kuching, manakala mangsa wanita berasal dari Sibu dibawa pulang ke Sarawak dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pagi ini.
Sebelum bertolak ke Pulau Pinang dari HSB pada 11.15 malam tadi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengambil peluang menyantuni keluarga mangsa dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Lebih 100 rakan sepengajian mangsa dari IPG Kampus Perlis turut memenuhi pekarangan Jabatan Forensik dalam suasana sayu dan hiba.
-- BERNAMA
