TASEK GELUGOR, 7 April (Bernama) -- Pulau Pinang terus memperkukuh pengembangan industri halal Malaysia menerusi projek pembangunan Industri PERDA Halal Park Fasa Dua bernilai RM33 juta di Seberang Perai Utara (SPU).
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata pembangunan di atas tanah berkeluasan 4.4 hektar di sebahagian Lot 21328 Mukim 12, Kubang Menerong di sini, adalah kesinambungan kepada Fasa Satu yang telah siap pada 2015.
Beliau berkata projek itu bukan sekadar pembangunan biasa, sebaliknya sebuah hab industri yang akan memenuhi standard kualiti serta integriti halal yang diiktiraf, sekali gus mencerminkan komitmen PERDA dalam membangunkan infrastruktur halal yang kompetitif di negeri ini.
“Projek fasa dua ini ini telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang pada 26 Feb lepas, dan kita menyasarkan kerja pembinaan akan bermula secara rasmi pada Julai ini.
“Kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa selama 24 bulan, dan kita akan dapat melihat ia siap sepenuhnya pada Julai 2028,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Industri PERDA Halal Park Fasa Dua, di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut, Shaik Hussein berkata pembangunan PERDA Halal Park Fasa Dua itu dirangka sebagai ekosistem perniagaan lengkap bagi menyokong pertumbuhan industri halal tempatan.
Beliau berkata antara komponen utama projek itu ialah pembinaan 22 unit industri teres setingkat yang akan menjadi nadi pengeluaran produk halal usahawan, selain penyediaan fasiliti sokongan termasuk pejabat pentadbiran, surau, dewan serba guna, tandas, kompleks makanan dengan lima unit gerai serta pusat pengumpulan sampah.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan seluas 120 ekar (46.5 hektar) telah diperuntukkan bagi pembangunan industri halal, yang turut menerima pengiktirafan Halal Malaysia (HALMAS) daripada Halal Development Corporation (HDC) sejak 2011, dan kawasan itu aset strategik yang dibangunkan secara komprehensif hasil perancangan jangka panjang sejak dua dekad lepas.
“Sehingga kini, sebanyak 40 ekar atau 33 peratus daripada pelan induk telah dibangunkan secara berfasa. Kita telah menyaksikan kejayaan pembangunan Fasa Satu melibatkan kerja tanah pada 2005, diikuti Fasa 1A (2007), 1B (2009), 1C (2011) dan 1D pada 2015,” katanya.
Shaik Hussein berkata hasil pembangunan itu turut menyaksikan PERDA Food Park dan Midtown kini beroperasi di kawasan seluas 40 ekar (16.1) hektar yang menempatkan 27 unit kilang industri kecil dan sederhana (IKS) pelbagai saiz serta 20 lot industri untuk jualan, dengan kos keseluruhan melebihi RM28 juta.
Beliau berkata projek itu masih terdapat baki kira-kira 70 ekar (28.3 hektar) kawasan pembangunan yang sedia dimajukan, sekali gus membuka peluang bagi pengembangan industri halal pada masa hadapan.
-- BERNAMA
