AM

BEBERAPA AGENSI KERAJAAN NEGERI BAKAL OPERASI DI PULAU SILIKON, TANAH DEPOT LRT DISERAH MEI

07/04/2026 03:09 PM

GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan negeri telah memulakan proses perancangan bagi menempatkan beberapa agensi kerajaan negeri di Pulau Silikon selari dengan kemajuan fizikal pulau buatan itu, yang juga bakal menyaksikan penyerahan tanah depot Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara pada Mei ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata berkata kerajaan negeri tidak akan menunggu hingga keseluruhan 930.77 hektar tanah siap ditambak untuk memulakan pembangunan bahagian atas.

Beliau berkata tanah bagi tapak depot LRT Laluan Mutiara seluas kira-kira 27.92 hektar dijangka siap tidak lama lagi dan kerajaan negeri akan menyerahkan tanah tersebut kepada Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) pada bulan depan

"Setakat ini, 133.54 hektar telah siap ditambak daripada sasaran fasa pertama sebanyak 517.59 hektar. Penyerahan tanah depot LRT ini menandakan pembangunan fizikal di Pulau Silikon boleh dimulakan bila-bila masa sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Silicon Island) 2050 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dilantik untuk membantu kerajaan negeri dari segi perancangan seni bina dan penggunaan tanah bagi membina pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri di pulau berkenaan. 

Chow berkata pusat pentadbiran tersebut tidak terlalu besar kerana keluasan yang diperuntukkan adalah dalam lingkungan 2.83 hektar dan mungkin hanya melibatkan pemindahan sebahagian agensi sahaja, manakala pejabat sedia ada di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) masih dikekalkan. 

"Mengenai cadangan memindahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Pulau Silikon, tanah dijangka sedia pada 2028, jadi pembangunan fizikal hanya akan bermula selepas tempoh tersebut," katanya. 

Selain pusat pentadbiran, Chow berkata plot industri di pulau berkenaan juga akan dibuka secara berfasa kepada pelabur, diperkukuhkan lagi dengan insentif daripada Kementerian Kewangan.

Mengenai infrastruktur asas, beliau memberi jaminan keperluan utiliti termasuk bekalan air telah diambil kira sepenuhnya, termasuk usaha kerjasama skim bekalan air antara Perak dan Pulau Pinang.

"Visi kami sejak hari pertama adalah untuk membangunkan Pulau Silikon menggunakan amalan terbaik dalam perancangan guna tanah, merangkumi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan