GEORGE TOWN, 7 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran ekonomi akibat krisis tenaga global.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata apa yang berlaku bukan lagi hanya isu geopolitik di Asia Barat, sebaliknya memberi kesan secara langsung kepada isi rumah rakyat Malaysia, perniagaan dan ekonomi negara.
Beliau berkata CAP dalam hal ini menggariskan tiga tindak balas utama bagi menangani krisis tersebut dengan yang pertama, rakyat Malaysia mesti menyokong usaha segera kerajaan untuk menstabilkan harga, melindungi rantaian bekalan dan isi rumah daripada kesan terburuk krisis tersebut.
“Dalam tempoh gangguan global, tindakan terancang dan tenang amat penting, namun kerajaan sahaja tidak mampu membawa negara melalui krisis yang berpanjangan jika masyarakat itu sendiri berpecah belah, sentiasa sangsi atau terjerat dengan politik sempit.
“Pengguna, perniagaan, masyarakat sivil, pekerja, organisasi masyarakat dan pemimpin politik mesti menyedari bahawa ini adalah detik untuk memikul tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata tindak balas kedua berdasarkan situasi krisis itu yang merupakan peluang melaksanakan reformasi strategik termasuk memperkukuh keterjaminan makanan, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan pengangkutan awam, menambah baik subsidi supaya lebih bersasar dan mengurangkan kebergantungan kepada laluan import berisiko.
Katanya ketiga, CAP menyeru pendekatan nasional melibatkan parti-parti kerajaan dan pembangkang, sambil memberi amaran supaya semua pihak mesti mengelakkan perbalahan politik dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.
Beliau berkata Parlimen seharusnya menjadi platform untuk mencari penyelesaian konstruktif mengenai inflasi, subsidi, keterjaminan makanan, kesihatan awam dan perlindungan isi rumah.
Mohideen merujuk kepada pengajaran daripada pandemik COVID-19, dengan menyatakan Malaysia mencatat prestasi terbaik apabila institusi dan komuniti bekerjasama, tetapi berundur selangkah apabila politik mengatasi kepentingan negara.
Beliau berkata CAP berikrar untuk memainkan peranan membina dengan memantau pergerakan harga, mendedahkan aktiviti pencatutan dan amalan tidak adil, memperjuangkan perlindungan pengguna yang lebih kukuh, mendesak dasar yang melindungi golongan rentan serta memupuk kesedaran, kesiapsiagaan dan perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Jika kita bersatu, menyokong reformasi yang penting dan menekankan tanggungjawab tanpa mengira parti, Malaysia boleh melakukan lebih daripada sekadar bertahan dalam krisis ini. Kita boleh bangkit dengan lebih gagah, bijaksana dan berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA
