AM

PEMBERIAN KHAS 40 PERATUS SABAH KEKAL, PROSES KINI TUMPU KEPADA TAKSIRAN DAN RUNDINGAN - PAKAR

07/04/2026 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu kekal terpelihara, dengan proses perundangan kini memfokus kepada langkah memastikan taksiran, rundingan serta pembayaran dilakukan secara tepat dan wajar.

Pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, yang juga bekas penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk menanguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak menafikan hak Sabah.

Sebaliknya, beliau berkata langkah itu akan memberi lebih masa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menentukan jumlah bayaran melalui mekanisme yang betul.

“Sabah sememangnya berhak ke atas (tuntutan) 40 peratus ini... Mahkamah Rayuan tidak menafikan hak Sabah. 

“Pada asasnya, apa yang dilakukan ialah memberi lebih masa kepada Kerajaan Persekutuan untuk merunding, mentaksir dan membuat bayaran,” katanya ketika ditemu bual melalui telefon mengenai tajuk Malaysia's Sabah's Revenue Claim: Process Principles and the Way Forward dalam program Bernama World yang dihoskan oleh Gerard Ratnam di Bernama TV.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan tidak menafikan hak Sabah di bawah peruntukan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak Sabah ke atas 40 peratus pertumbuhan hasil bersih diperoleh dari negeri itu berbanding tahun asas pada 1963 namun memerlukan masa susulan pertikaian fiskal yang rumit.

Shad juga berkata peruntukan ini sering disalahfahami.

Beliau berkata hak itu berkaitan dengan pertumbuhan hasil bukan jumlah keseluruhan, dan penolakan tambahan akan turut dikenakan, iaitu jumlah yang telah diterima oleh Sabah dibenarkan untuk ditolak.

Justeru, Shad berkata Perlembagaan Persekutuan mewajibkan rundingan berstruktur dan semakan berkala.

“Kerajaan Persekutuan perlu duduk semeja dan berunding dengan Sabah secara harmoni mengenai jumlah yang perlu dibayar… semakan berkala perlu dilakukan setiap lima tahun," katanya sambil menambah pentaksir bebas boleh dilantik jika persetujuan tidak dicapai.

Beliau juga berkata amalan lampau mungkin tidak mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan.

"Atas sebab-sebab yang tidak kita ketahui, anggaran hasil Malaysia tidak lagi dipisahkan secara jelas, jadi dari tahun 1974 hingga 2021, negeri-negeri di Kepulauan Borneo menerima geran tahunan secara tetap,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Shad menyuarakan optimisme bahawa penyelesaian isu itu selaras dengan prinsip perlembagaan akan memperkukuh sistem persekutuan Malaysia.

"Sistem persekutuan yang setia kepada Perlembagaan yang melahirkannya mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus wujud dan berkembang," katanya.

Beliau berkata meskipun negeri lain mungkin mengemukakan tuntutan serupa, ia perlu berpandukan peruntukan perlembagaan dan disokong melalui proses perundangan yang betul.

Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan Persekutuan dan negeri perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Perintah itu dibuat selepas mahkamah membenarkan semakan kehakiman Persatuan Undang-Undang Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri berkaitan hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh dari Sabah. 

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan semula Pemberian Khas Negeri Sabah sementara menunggu rayuan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan