KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) berjaya menyelesaikan penerbitan semula sukuk jangka pendek bernilai US$1.335 bilion merentasi lima tempoh, iaitu dua minggu, satu bulan, tiga bulan, enam bulan dan sembilan bulan.
Dalam satu kenyataan, penerbit global instrumen mudah tunai jangka pendek patuh syariah itu berkata lima siri itu berharga kompetitif pada 3.90 peratus bagi US$251 juta (dua minggu), 3.90 peratus untuk US$432 juta (satu bulan), 3.95 peratus untuk US$379 juta (tiga bulan), 4.00 peratus untuk US$218 juta (enam bulan) dan 3.95 peratus untuk US$55 juta (sembilan bulan).
Lelongan itu menarik permintaan daripada pelabur global, dengan bidaan mencecah US$3.061 bilion, iaitu lebihan langganan yang kukuh sebanyak 2.29 ganda, menunjukkan minat berterusan terhadap instrumen Islam jangka pendek yang IILM berkualiti tinggi, walaupun terdapat turun naik pasaran.
“Dalam pasaran hari ini, kebolehpercayaan bukan sahaja dihargai, malah ia juga terhad.
“IILM telah melangkah ke ruang itu sebagai satu-satunya penerbit sukuk denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang konsisten dalam tempoh ketidakpastian yang memuncak ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Safri Shahul Hamid.
Sejak tercetusnya konflik Asia Barat, IILM telah menjana US$3.55 bilion merentasi tiga lelongan, ketika penerbitan utama telah terhenti secara berkesan.
Ini telah meletakkan IILM bukan sahaja sebagai peserta, tetapi pemain utama dalam pasaran mudah tunai Islam global.
Memandangkan institusi mengutamakan daya tahan mudah tunai, peranan IILM dalam memudahkan aliran mudah tunai rentas sempadan menjadi lebih ketara.
Pada masa sama, kedudukan tunai yang kukuh dan permintaan yang berterusan untuk melaksanakan strategi telah mengekalkan harga yang kukuh.
Selain itu, dengan ketiadaan sebahagian besar bekalan dan alternatif yang terhad, permintaan bagi sukuk IILM kekal kukuh secara konsisten, sekali gus meningkatkan kepentingan terbitan tetap kami dalam menyokong kestabilan pasaran dan keyakinan pelabur.
“Kami akan terus menerbitkan dengan disiplin dan konsisten, terutamanya apabila pasaran amat memerlukan kepastian,” kata Mohamad Safri.
Transaksi hari ini menandakan lelongan sukuk ketujuh IILM setakat tahun ini, menjadikan jumlah terbitan pada 2026 kepada US$8.035 bilion merangkumi 32 siri sukuk dengan pelbagai tempoh matang.
Kesemua terbitan dikendalikan di bawah Program Sukuk Terbitan jangka pendek IILM bernilai US$8.5 bilion dengan penarafan ‘A-1’ oleh S&P Global Ratings dan ‘F1’ oleh Fitch Ratings.
Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh pelbagai rangkaian 16 peniaga utama yang berkembang di seluruh dunia.
Mereka merupakan Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, AlRayan Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Golden Global Investment Bank, Jaiz Bank, Kuwait Finance House, Kuwait International Bank, Maybank Islamic Bhd, Meethaq Islamic Banking dari Bank Muscat, Qatar Islamic Bank, dan Standard Chartered Bank.
Dalam pada itu, IILM sering menerbitkan sukuk jangka pendek dalam pelbagai tempoh dan jumlah bagi memenuhi keperluan mudah tunai institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.
Organisasi itu akan terus menerbitkan instrumen semula mudah tunai jangka pendeknya setiap bulan, seperti yang digariskan dalam kalender penerbitannya.
-- BERNAMA
