DUNIA

PENGELUARAN MINYAK OPEC TERENDAH DALAM EMPAT DEKAD PADA MAC

08/04/2026 09:33 AM

ISTANBUL, 8 April (Bernama-Anadolu) -- Pengeluaran minyak mentah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencatatkan penurunan bulanan paling teruk dalam sekurang-kurangnya empat dekad pada Mac.

Hal itu susulan perang di Asia Barat yang secara mendadak menjejaskan eksport dari negara anggota utama, lapor Anadolu Ajansi, memetik tinjauan Bloomberg.

Pengeluaran OPEC turun sebanyak 7.56 juta tong sehari, atau kira-kira 25 per cnet, kepada 22 juta sehari pada Mac, menurut tinjauan itu.

Kemerosotan itu disebabkan oleh perang yang melibatkan pakatan Amerika Syarikat-Israel dan anggota OPEC Iran menutup Selat Hormuz sekali gus memaksa Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq mengurangkan pengeluaran.

Data tinjauan bermula seawal 1989 menunjukkan penurunan bulan Mac ialah penurunan bulanan terbesar dalam sekurang-kurangnya empat dekad, walaupun kumpulan itu membuat pemotongan lebih banyak dalam tempoh dua bulan pada 2020, apabila permintaan bahan api global merosot semasa pandemik Coronavirus.

Dari segi tong, penurunan itu juga akan melebihi kerugian yang dilihat semasa embargo minyak Arab 1973, menurut Bloomberg.

Kejutan bekalan mendorong harga minyak mentah lebih tinggi secara mendadak, dengan niaga hadapan Brent meningkat kepada hampir AS$120 setong di London bulan lepas.

Brent didagangkan hampir AS$110 pada Selasa, manakala kenaikan harga bahan api jet, diesel dan petrol terus menekan pengguna.

Dalam kalangan anggota OPEC, Iraq mencatatkan penurunan terbesar, dengan pengeluaran susut sebanyak 2.76 juta tong sehari kepada 1.63 juta tong sehari, diikuti Arab Saudi (2.07 juta tong kepada 8.36 juta tong) dan UAE turun sebanyak 1.44 juta tong kepada 2.16 juta tong sehari,

Pada 5 April, OPEC bersetuju untuk meningkatkan bekalan bagi Mei namun mengingatkan bahawa masa diperlukan untuk memulakan semula operasi fasiliti yang rosak dalam konflik.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan