DUNIA

MALAYSIA KUTUK PENGHINAAN ISRAEL TERHADAP MASJID AL-AQSA

08/04/2026 11:26 AM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif seorang menteri rejim Zionis Israel memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Rabu menegaskan tindakan biadap yang dilakukan semasa kawasan masjid itu ditutup kepada jemaah Islam adalah pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menghina tapak suci umat Islam itu.

“Tindakan melulu seperti itu menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau, dan mencabul hak agama umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menekankan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Al‑Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah kewajipan yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengecam dengan keras tindakan Israel dan menuntut agar ia segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Langkah-langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut, menurut kenyataan itu.

Malaysia menekankan semula solidariti teguhnya dengan rakyat Palestin dan komitmen untuk menjaga warisan agama, budaya dan negara mereka, selain mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan