KUALA NERUS, 8 April (Bernama) -- Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Terengganu FC (TFC) berkuat kuasa 1 April lepas.
TFCSB melalui kenyataan media hari ini, memaklumkan Sheikh Farouk telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengurusan dan menyumbang kepada pembangunan TFC secara keseluruhan sepanjang tempoh perkhidmatannya bermula Ogos tahun lepas.
Kenyataan itu memaklumkan segala usaha dan sumbangan Sheikh Farouk amat dihargai serta sentiasa dikenang oleh warga kelab serta penyokong TFC.
"Pihak kelab mendoakan agar beliau terus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. Semoga segala pengalaman yang diperoleh bersama TFC menjadi bekalan berharga untuk beliau terus maju," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Sheikh Farouk berkata beliau menghargai sokongan yang diberikan dan mendoakan kejayaan berterusan untuk Skuad Penyu itu.
-- BERNAMA
