SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung dengan anggaran jualan RM5 juta pada MATTA Fair Negeri Sembilan di Palm Mall, di sini dari 24 hingga 26 April ini.
Pengerusi MATTA Cawangan Negeri Sembilan Lee Fook Moi berkata penganjuran itu memberikan fokus kepada pelancongan domestik bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 selain bertujuan memperkukuh industri pelancongan tempatan.
"MATTA Fair menghimpunkan pelbagai agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha produk pelancongan tempatan yang menawarkan pakej istimewa dengan penjimatan antara 30 hingga 40 peratus daripada harga biasa.
"Sebanyak 56 reruai pameran ditampilkan melibatkan penyertaan ejen pelancongan berlesen, organisasi pelancongan, syarikat penerbangan, hotel serta taman tema termasuk penyertaan Tourism Malaysia Wilayah Tengah sebagai sokongan berterusan terhadap promosi pelancongan domestik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata penganjuran MATTA Fair itu mencerminkan momentum positif industri pelancongan domestik serta kesiapsiagaan pemain industri untuk terus berkembang.
Lee berharap MATTA Fair Negeri Sembilan kali ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan pergerakan pelancong domestik.
Acara itu turut diperkukuh dengan kerjasama strategik RHB Bank Berhad sebagai Penaja Bank Rasmi, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap MATTA Fair Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
