KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Sebanyak 45 individu termasuk dua pelajar sekolah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras, Ahad lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pesaing perniagaan serta dendam, dengan kumpulan berkenaan disyaki direkrut oleh sebuah kongsi gelap.
“Lebih 60 orang terlibat dan setakat ini kita telah menangkap 45 orang berumur antara 14 hingga 50 tahun. Kita percaya masih ada lagi dalang, orang tengah dan pihak atasan yang masih bebas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, kumpulan terbabit bertindak memecah masuk premis menggunakan lori dengan melanggar pagar sebelum merosakkan bahagian hadapan dan lobi premis menggunakan senjata seperti kayu besbol.
Fadil berkata polis turut merampas sebuah lori dan empat kenderaan lain yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kes pencerobohan dan khianat di premis berkenaan kira-kira 7.30 malam hari kejadian sebelum menahan lapan individu berumur antara 16 hingga 27 tahun pada Isnin dan semalam.
“Seorang suspek direman selama dua hari hingga hari ini manakala yang lain direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Fadil berkata susulan tangkapan awal itu, polis telah menahan 37 lagi individu berumur antara 14 hingga 50 tahun di sekitar ibu negara hari ini dan pihaknya akan membuat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kebanyakan suspek adalah warga tempatan dan penglibatan pelajar sekolah dalam kejadian itu membimbangkan pihak polis. Selain itu, premis terbabit beroperasi secara sah dengan lesen lengkap, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita akan teruskan operasi sehingga semua yang terlibat ditangkap dan didakwa,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mengakui terdapat kelewatan dalam penerimaan maklumat awal berkenaan kejadian itu yang menjejaskan respons segera.
Sehubungan itu, katanya orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Jenayah seperti ini berlaku sangat pantas, dalam beberapa minit sahaja. Jadi maklumat awal amat penting,” katanya sambil memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah.
-- BERNAMA
