PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula Rabu depan bertujuan memastikan penggunaan bahan api dapat dikendalikan secara lebih efisien, selain menjimatkan kos operasi kerajaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata matlamat utama pelaksanaan BDR adalah untuk menyaksikan penjimatan penggunaan bahan bakar dalam kalangan penjawat awam, khususnya ketika negara berdepan cabaran krisis tenaga global.
Beliau berkata pelaksanaan BDR tidak akan melibatkan sektor tertentu seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan serta sektor lain yang akan diberikan pengecualian dan ditentukan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
"Bagi sektor komunikasi sebagai contoh, kita serahkan kepada Ketua Jabatan untuk meneliti selagi mana fungsi asas tidak terkesan. Hari ini kita tahu untuk berkomunikasi dengan khalayak umum kita boleh 'Work From Handphone'.
“Jadi saya percaya dalam tempoh BDR ini rakan-rakan terutama Jabatan Penerangan dan beberapa yang lain masih boleh berfungsi di mana sahaja mereka berada," katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Pada 1 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini.
Anwar berkata pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
-- BERNAMA
