JASIN, 8 April (Bernama) -- Melaka dijangka melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dalam tempoh seminggu ini selepas permohonan kerajaan negeri untuk melaksanakan operasi itu diluluskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha melaksanakan operasi tersebut sedang diteliti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) daripada pelbagai aspek, antaranya kesesuaian waktu penerbangan dan pembentukan awan.
Beliau berkata permohonan operasi tersebut dibuat bagi meningkatkan taburan hujan khususnya ketika paras empangan di negeri itu menunjukkan trend penurunan, selain MetMalaysia meramalkan Melaka akan mengalami cuaca panas dan taburan hujan yang rendah hingga September ini.
"Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan melaksanakan OPA melalui NADMA. Alhamdulillah ia telah diluluskan dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh seminggu ini bergantung kepada pelbagai faktor termasuk cuaca.
"Sekiranya keadaan cuaca panas dan kering ini berterusan, bekalan air di Empangan Jus dijangka hanya dapat bertahan hingga November, begitu juga Empangan Durian Tunggal," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Jus Fasa Dua di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Ab Rauf berkata beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan lebih awal bagi memastikan kestabilan rizab air mentah negeri, antaranya mengaktifkan semua kolam alternatif serta sumber simpanan air tambahan di seluruh negeri bagi memperkukuh kapasiti bekalan sedia ada.
Selain itu, beliau berkata usaha meningkatkan kempen kesedaran dan penjimatan air dalam kalangan masyarakat turut dilakukan sebagai langkah bersama dalam memastikan penggunaan air lebih terkawal.
"Pada masa sama, kita juga sentiasa memantau rapi kapasiti kawasan tadahan air yang kini terjejas akibat cuaca kering berpanjangan dan setakat ini, paras air di Empangan Durian Tunggal telah menurun 0.5 peratus manakala di Empangan Jus menurun 0.3 peratus," katanya.
Mengenai jangkaan catuan bekalan air di negeri itu seperti yang tular sebelum ini, beliau berkata kerajaan negeri tidak memberi jaminan tiada catuan air akan dilakukan kerana ia bergantung kepada sikap rakyat dalam memastikan tiada pembaziran air berlaku.
"Jadi kalau paras itu memerlukan kita membuat catuan, pasti kita akan lakukan supaya bekalan air dapat dikawal dan boleh digunakan dalam jangka masa panjang sebelum paras kritikal berlaku," katanya.
Terdahulu, beliau berkata Projek Pembinaan LRA Jus Fasa Dua bernilai RM11.6 juta yang mula dibangunkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada 8 Mei tahun lepas dijangka siap sepenuhnya pada 7 Julai ini.
Ab Rauf berkata LRA itu yang berupaya menampung kapasiti lima juta liter air sehari, dilihat dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air berulang bagi tempoh jangka masa panjang khususnya di kawasan Jus, seperti Kampung Bukit Senggeh dan Kampung Orang Asli Jus.
Projek itu juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada Tangki Senandung B3 serta LRA Bertam, sekali gus memperkukuh sistem agihan air negeri.
-- BERNAMA
