KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pengeksport Malaysia perlu mengambil pendekatan proaktif dan adaptif untuk mendepani landskap perniagaan yang berubah disebabkan krisis Asia Barat, menurut penceramah dalam webinar anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
MATRADE berkata antara strategi yang disyorkan adalah mempelbagaikan pasaran melangkaui destinasi tradisional ke ASEAN, Asia Tengah, Asia Selatan, dan Afrika; menyelaraskan terma penghantaran untuk mengurangkan pendedahan risiko; dan mengukuhkan pengesahan pembeli bagi memastikan kebolehpercayaan dalam keadaan yang tidak menentu.
Dalam webinar semalam bertajuk “Middle East Crisis – Market Update” panel penceramah turut mengesyorkan supaya menerokai eksport berasaskan perkhidmatan termasuk kepakaran dalam industri minyak dan gas serta perkhidmatan teknikal.
Selain itu, pengeksport disaran memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kawalan kos, menurut agensi yang mempromosikan perdagangan negara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FSG Advisory Sdn Bhd Dr Anthony Dass bertindak sebagai pengantara untuk webinar yang diadakan bagi memberi gambaran ringkas tetapi bernas berhubung situasi semasa, disokong oleh perspektif daripada wakil-wakil MATRADE di Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Kazakhstan.
Wakil industri daripada syarikat peringkat pertengahan turut berkongsi perspektif dan pengalaman mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif LH Plus Sdn Bhd Callum Chen; Ketua Pegawai Eksekutif MMC Oil and Gas Engineering Sdn Bhd Ts Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Mine Logistics Sdn Bhd Dereck Ng.
“Walaupun tempoh konflik masih tidak menentu, pembeli dan pengimport di kawasan terjejas semakin sensitif terhadap harga, dengan sesetengah pihak berunding semula kontrak atau menangguhkan pesanan. Pengeksport yang mengendalikan barangan bermargin rendah dan volum tinggi amat terdedah ketika ini.
“Sehubungan itu, pengeksport perlu menyesuaikan diri dengan laluan baharu, kerjasama dan dinamik pasaran yang muncul dalam proses itu,” kata MATRADE.
Apa yang menarik, penyedia logistik berkata walaupun kos meningkat, keadaan setakat ini masih terkawal, tambahnya.
MATRADE berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengukuhkan peranannya sebagai pembekal yang boleh dipercayai dan strategik dalam pasaran global walaupun berdepan cabaran.
“Peluang terus ada di sepanjang koridor utama di mana permintaan masih wujud walaupun tidak sekata, manakala syarikat yang mengikuti perkembangan pasaran, mengekalkan hubungan dengan pembeli dan menempatkan diri dalam segmen nilai yang kukuh masih boleh bertapak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata agensi itu terlibat sepenuhnya dengan rangkaian luar negara bersama-sama pihak industri untuk memanfaatkan pandangan dan kepakaran mereka bagi memastikan komuniti perniagaan sentiasa maklum mengenai situasi semasa dan cara-cara mengurangkan cabaran yang dihadapi sepanjang krisis berkenaan.
Webinar itu turut dianjurkan sebagai pengenalan kepada bengkel fizikal MATRADE yang akan datang bertajuk “Executive Dialogue Series – Thriving in a Changing Market Landscape – Insights for Business Leaders”.
Syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai acara itu pada 16 April, 2026 boleh menghubungi MATRADE melalui emel di training@matrade.gov.my atau hubungi talian 03-6207 7077.
-- BERNAMA
