ISTANBUL, 9 April (Bernama-Anadolu) -- Sebilangan besar kapal dilaporkan terkandas di Selat Hormuz awal pagi Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita Tasnim.
Laporan itu muncul beberapa jam selepas penyiar negara Iran, IRIB, memetik Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim sebagai berkata bahawa kapal yang ingin melalui selat berkenaan perlu menyelaras pergerakan dengan Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), selain menggunakan laluan yang telah ditetapkan.
Pihak berkuasa pelabuhan dan maritim pada Rabu menjelaskan bahawa langkah berkenaan perlu dilaksanakan “berikutan situasi perang di Teluk Parsi dan kemungkinan terdapat periuk api anti-kapal di zon lalu lintas utama Selat Hormuz.”
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat dan Iran mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang bertujuan membuka jalan kepada perjanjian muktamad untuk menamatkan perang yang dilancarkan Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb.
Walaupun pegawai Iran dan Pakistan berkata perjanjian itu turut merangkumi Lubnan, Israel menegaskan bahawa negara itu bukan sebahagian daripada gencatan senjata berkenaan dan melancarkan gelombang serangan udara besar-besaran ke seluruh negara terbabit pada Rabu.
-- BERNAMA-ANADOLU
