AM

PRESTASI PENJAWAT AWAM MEMBANGGAKAN, BERDAYA TAHAN HADAPI KRISIS TENAGA GLOBAL - PM ANWAR

09/04/2026 12:38 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi penjawat awam sebagai membanggakan serta mampu menangani pelbagai cabaran dengan berkesan meskipun berdepan tekanan akibat krisis tenaga global yang masih berterusan.

Beliau berkata budaya dan tradisi dalam perkhidmatan awam yang disokong dengan ketegasan dan semangat kesatuan serta perpaduan menjadi antara faktor utama prestasi dan kejayaan membanggakan perkhidmatan awam itu.

“...yang menakjubkan, syukur Alhamdulillah, budaya dan tradisi kita dalam perkhidmatan awam ini menunjukkan kalau ditekan, ditegaskan dan ada semangat kesatuan, perpaduan, banyak boleh selesai. Lihat saja prestasi negara kita, bukan sahaja sebelum krisis, tetapi juga selepas (krisis),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih baik berbanding negara jiran lain.

“Kita bersyukur walaupun tidak berhenti kritikan terhadap orang politik dan juga penjawat awam, kita tidak boleh nafikan di negara ini, prestasi penjawat awam umumnya sangat baik ketimbang negara lain.

“Jadi, jangan kita lupa.. jangan kita asyik berleter seharian tentang masalah-masalah. Masalah itu ada tetapi perhatikan juga tentang prestasi yang kita dilakukan,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat serta pandangan kepada rakyat dan bukan sekadar mempertahankan kerajaan semata-mata.

“Penjawat awam harus menjelaskan. Bukan soal mempertahankan Perdana Menteri atau menteri ataupun kerajaan, tetapi menyatakan hak dan memberi pandangan balas jika ada perkara yang tidak disenangi atau perlu diusulkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan