KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) mengumumkan pelanjutan kempen ganjarannya dengan pelancaran Kempen Ganjaran Astro BizOne serba baharu di bawah Astro BizOne, iaitu satu pakej ringkas untuk kedai makanan dan minuman (F&B).
Di bawah kempen ini, Astro menawarkan sehingga RM17.5 juta sokongan pemasaran terjamin untuk membantu kedai F&B di seluruh Malaysia menjangkau lebih ramai pelanggan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam satu kenyataan, Astro berkata pada tahun ini, kempen itu beralih daripada format cabutan bertuah kepada model ganjaran terjamin, bagi memastikan kedai F&B yang layak menerima pendedahan pemasaran menerusi platform televisyen, radio dan digital Astro selepas melanggan pakej Astro BizOne.
“Kempen Ganjaran Astro BizOne sebelum ini menyaksikan 200 kedai F&B di seluruh Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu bentuk sokongan pemasaran melalui platform Astro.
“Ini termasuk 87 kedai yang dipromosikan menerusi Astro Audio Ads, manakala 48 kedai masing-masing ditampilkan dalam segmen video dalam Buletin Awani dan Borak SeeNI, sekali gus memberikan pendedahan yang berharga kepada perniagaan kecil daripada media nasional,” katanya.
Ketua Perniagaan Pengguna dan Perusahaan Astro Tan Sian Tuang berkata pemasaran memacu pertumbuhan perniagaan dan gabungan platform televisyen, radio dan digital Astro yang hebat membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh keterlihatan yang diperlukan.
Beliau berkata susulan peningkatan kos pemasaran, pengendali F&B sering mencari cara yang praktikal untuk menarik pelanggan dan lebih menonjol, dan kempen itu direka untuk menyediakan pendedahan yang mudah diakses dan bermakna kepada PKS di seluruh ekosistem media Astro.
“Tahun lepas, kempen ini telah membantu banyak kedai F&B di seluruh Malaysia menjangkau khalayak yang lebih meluas, dan penyertaan yang kukuh menunjukkan kesan sebenarnya.
“Tahun ini, kami sedang membina momentum itu dan meningkatkan sokongan kami agar lebih banyak kedai memperoleh keterlihatan dan membuka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Restoran Nasi Lemak Burung Hantu Gombak Muhammad Irfan Rifqi Mohamed Azlan berkata bahawa paparan di Astro Audio Ads telah memperkenalkan kedai itu kepada pelanggan, yang mungkin tidak akan dapat dicapainya sendiri.
Kedai tersebut menerima sokongan pemasaran daripada Astro Audio Ads sebagai sebahagian kempen tahun lepas.
Beliau berkata sebagai sebuah perniagaan kecil, ia selalu memberi tumpuan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan tetap mereka, tetapi kempen itu membuka peluang kepada khalayak yang lebih meluas.
“Tidak lama kemudian, pelanggan baharu mula datang, dan menyatakan mereka mengetahui mengenai kami menerusi iklan radio.
“Sejak itu, kami menyaksikan aliran pelanggan yang lebih stabil, dan keterlihatan ini memang membantu kedai kami berkembang dan kekal sibuk,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Astro berkata kedai yang layak akan menerima satu ganjaran pemasaran terjamin berdasarkan nilai langganan bulanan minimum BizOne mereka.
Bagi pakej Astro Audio Ads dengan paparan di Buletin Awani, kedai yang layak ditawarkan langganan bulanan minimum sebanyak RM1,200, dengan anggaran nilai ganjaran kira-kira RM163,000.
Beliau berkata, pakej itu termasuk temu bual dan paparan selama satu minit yang diterbitkan secara profesional di Buletin Awani, iaitu saluran berita terkemuka Malaysia, sekali gus memberikan pendedahan yang bermakna di seluruh negara kepada kedai tersebut.
“Paparan lain turut merangkumi liputan secara dalam talian di platform digital dan sosial Astro Awani yang membantu lebih ramai pelanggan mengetahui mengenai kedai tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, di bawah pakej Astro Audio Ads dengan paparan di Borak SeeNI TV, kedai yang layak ditawarkan langganan bulanan minimum RM1,000, dengan anggaran nilai ganjaran kira-kira RM111,000.
Di bawah pakej ini, ganjaran termasuk satu segmen khas di Borak SeeNI, iaitu rancangan bual bicara TV dinamik di Astro Prima yang mengetengahkan pandangan hiburan dan perniagaan, aliran industri dan kisah kejayaan, selain pendedahan di platform media sosial Borak SeeNI untuk meningkatkan jangkauan melangkaui penonton TV.
Bagi pakej paparan di Buletin Awani dan Borak SeeNI, ia turut melibatkan Astro Audio Ads, dan kedai yang layak akan memperoleh 56 iklan radio selama tujuh hari (lapan iklan sehari) untuk meningkatkan kunjungan dan kesedaran.
Sementara itu, bagi Astro Audio Ads dengan pakej paparan di Digital Magazine, kedai yang layak akan ditawarkan langganan bulanan minimum sebanyak RM800, dengan anggaran nilai ganjaran kira-kira RM78,000.
Beliau berkata ganjaran di bawah pakej itu merangkumi iklan radio berdurasi 30 saat yang disiarkan sebanyak 35 kali selama tujuh hari sekurang-kurang di dua stesen Astro Radio.
Astro Audio mengendalikan 12 stesen di seluruh negara, termasuk ERA, Hitz, Mix, MY, Raaga, Sinar, Lite, Gegar, Zayan, Melody, GoXuan, ERA Sabah dan ERA Sarawak, selain paparan artikel di platform majalah digital seperti Rasa, Maskulin, Nona atau Vanilla Kismis, sekali gus membantu kedai itu berkongsi kisah mereka dan menjangkaui lebih ramai pelanggan secara dalam talian.
Kempen Ganjaran Astro BizOne berlangsung dari 9 Mac 2026 hingga 31 Januari 2027.
Menurut Astro kedai F&B baharu yang melanggan pakej Astro BizOne sepanjang tempoh tersebut, dengan nilai langganan bulanan minimum sebanyak RM800, akan layak secara automatik untuk peringkat ganjaran yang sepadan berdasarkan nilai langganan mereka.
“Susulan pengaktifannya, pasukan AstroBiz akan mengesahkan kelayakan dan menghubungi kedai yang mengambil bahagian dalam tempoh 60 hari untuk mengatur pemenuhan ganjaran.
“Astro BizOne menyediakan rangkaian penuh liputan sukan secara langsung serta kandungan hiburan, menampilkan acara sukan utama seperti Liga Perdana, kejohanan BWF, Liga Malaysia, Liga Sepak Takraw, Formula 1, kriket dan tenis, serta 26 saluran bukan sukan,” tambahnya.
Perniagaan yang berminat menyertai kempen itu boleh menghubungi pasukan jualan AstroBiz, rakan niaga sah atau Khidmat Pelanggan AstroBiz di +603 9544 7566 atau astrobusinesssupport@astro.com.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
