KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Perak semalam menunjukkan perkembangan positif apabila hujan berjaya direkodkan di beberapa kawasan tadahan utama negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata hujan direkodkan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan Empangan Temenggor dengan jumlah taburan signifikan antara 29.3 milimeter (mm) hingga 84.8 mm.
“Ini sekali gus memberi kelegaan awal kepada paras air empangan yang sebelum ini terjejas akibat cuaca kering,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan pendekatan berasaskan sains serta penyelarasan rapi antara Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mampu memberikan impak yang jelas dalam tempoh singkat.
Beliau turut memaklumkan operasi berkenaan diteruskan hari ini ke selatan tanah air melibatkan beberapa empangan utama di Johor dan Melaka.
Ahmad Zahid berkata operasi di selatan itu akan memberi tumpuan kepada Empangan Machap, Upper Layang, Lower Layang, Lebam dan Pulai di Johor serta Empangan Durian Tunggal dan Jus di Melaka.
“Kita akan terus memantau keperluan dari semasa ke semasa dan memastikan setiap langkah yang diambil memberi impak terbaik kepada bekalan air, sektor pertanian serta kesejahteraan rakyat.
“Sama-sama kita memohon agar segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan dikurniakan hasil yang baik untuk semua,” katanya.
Terdahulu, METMalaysia memaklumkan keberkesanan operasi itu disokong oleh kandungan kelembapan atmosfera yang tinggi serta keadaan atmosfera tidak stabil, sekali gus memacu pertumbuhan awan hujan dengan lebih cekap selepas proses pembenihan dilakukan.
Proses pembenihan di Empangan Bukit Merah dan Empangan Temenggor semalam menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM, yang melibatkan teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara pada ketinggian antara 5,200 hingga 7,000 kaki.
-- BERNAMA
