AM

KERAJAAN TAWAR PROSES MEDIASI PERCUMA KES PERTIKAIAN KONTRAK BERNILAI BAWAH RM250,000 - AZALINA

09/04/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan proses mediasi percuma bagi kes yang mempunyai pertikaian perundangan membabitkan semua jenis kontrak bernilai di bawah RM250,000 kepada umum menjelang Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan pro bono itu perlu merujuk pertikaian perundangan kes terbabit kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) terlebih dahulu.

“Bantuan ini diberikan selepas mengambil kira proses mediasi ketika ini hanya boleh diadakan selepas pihak yang mempunyai pertikaian perundangan memfailkan kes mereka di mahkamah.

“Kami harap perkhidmatan ini dapat membantu mereka menyelesaikan pertikaian melalui proses mediasi dengan kos perundangan akan diserap oleh AIAC,” katanya selepas menghadiri Simposium Seniman di sini hari ini.

Dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, simposium itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac.

Terdahulu, Azalina dalam ucapannya berkata proses mediasi itu adalah penyelesaian pertikaian alternatif yang ditawarkan menerusi reformasi perundangan melalui Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.

Menurut Azalina, pendekatan itu adalah lebih cepat, fleksibel dan kos efektif berbanding litigasi, sekali gus memberi manfaat besar kepada semua pihak termasuk penggiat seni yang berdepan pertikaian kontrak, hak cipta atau urusan komersial tanpa perlu menanggung kos guaman tinggi.

Beliau berkata pendekatan itu adalah selari dengan pendirian kerajaan yang mahu akses kepada keadilan bukan lagi menjadi hak eksklusif sesetengah golongan, sebaliknya untuk semua warga Malaysia.

Dalam pada itu, Azalina berkata prestasi pencapaian bagi pelepasan kes kebankrapan pada 2025 melepasi sasaran ditetapkan apabila 204,000 kes berjaya diselesaikan.

Beliau berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 176,000 kes pelepasan kebankrapan yang dicatatkan pada 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan