AM

IMIGRESEN JOHOR TAHAN 40 WARGA ASING DI KAMPUNG BARU MUAFAKAT

09/04/2026 07:41 PM

JOHOR BAHRU, 9 April (Bernama) --  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan penempatan warga asing selepas menahan 40 individu atas pelbagai kesalahan di sebuah kediaman di Kampung Baru Muafakat di sini pada 12.20 tengah malam tadi.

Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 31 lelaki warganegara Pakistan; tiga lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar serta dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, berusia antara dua hingga 59 tahun.

"Kesemua mereka sedang berehat di rumah setinggan yang mempunyai banyak bilik dan dijadikan tempat tinggal sejak dua bulan lepas semasa Ops Sapu dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Rusdi berkata ada antara mereka yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam bilik bagi mengelak pemeriksaan, namun berjaya diberkas anggota penguat kuasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati pendatang asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua individu ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan