KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Prospek jangka pendek AirAsia X Bhd (AAX) kekal disokong permintaan perjalanan yang berterusan, meskipun pelaksanaan surcaj bahan api baharu bagi menangani lonjakan harga bahan api jet susulan konflik di Asia Barat menyebabkan kenaikan tambang penerbangan.
Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata AAX turut melaksanakan pelbagai langkah penjimatan kos termasuk pengurangan kapasiti, pengoptimuman penyelenggaraan pesawat serta perancangan rangkaian strategik bagi mengurangkan impak harga bahan api jet yang kini mencecah paras tertinggi pernah dicatatkan.
"Ketika ini, surcaj bahan api meningkat kira-kira 20 peratus, manakala tambang keseluruhan naik antara 30 hingga 40 peratus bergantung kepada ekonomi laluan dan destinasi.
“Dengan bahan api merangkumi sekitar 20 hingga 40 peratus daripada perbelanjaan operasi, langkah ini penting bagi melindungi margin keuntungan,” katanya dalam satu nota hari ini.
Sejak konflik Asia Barat bermula pada 28 Februari, harga minyak mentah melonjak sehingga US$118 setong, sekali gus menyebabkan harga bahan api jet meningkat ketara daripada sekitar US$90 setong sebelum konflik kepada kira-kira US$200 ketika ini.
PIVB berkata AAX telah mengurangkan kira-kira 10 peratus kapasiti penerbangan, terutamanya melalui pengurangan kekerapan bagi laluan berprestasi rendah serta penggabungan penerbangan tanpa menjejaskan kesalinghubungan, didorong oleh berakhirnya musim perayaan Hari Raya serta pertimbangan pengurusan kos.
“Dari segi pengoptimuman rangkaian, AAX mengagihkan semula kapasiti ke laluan berprestasi lebih kukuh. Syarikat penerbangan itu juga memanfaatkan peluang ini untuk mengoptimumkan penggunaan barisan pesawatnya serta mempercepat penggantian pesawat lama kepada model yang lebih cekap bahan api,” katanya.
Selain itu, PIVB berkata AAX memanfaatkan kesalinghubungan ‘fly-thru’ melalui Kuala Lumpur dan Bangkok bagi memaksimumkan muatan penumpang serta kecekapan operasi.
“Syarikat turut bergantung kepada pengukuhan mata wang ASEAN sebagai pelindung semula jadi terhadap kos bahan api yang didenominasikan dalam dolar AS,” katanya.
PIVB mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap AAX, namun menurunkan harga sasaran kepada RM1.85 daripada RM2.80.
-- BERNAMA
