AM

UMT TERUS PERKASA BIDANG MARIN, KADAR KEBOLEHPASARAN CATAT 95 PERATUS

10/04/2026 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95 peratus pada tahun lepas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya  sebagai universiti berfokus di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) UMT Prof Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata kejayaan itu didorong oleh kerjasama erat dengan industri, termasuk menerusi kewujudan pejabat industri di kampus dan penggunaan kemudahan universiti oleh pihak syarikat.

Beliau berkata UMT turut menganjurkan seminar penyelidikan yang menghimpunkan pemain-pemain industri bagi mengenal pasti bakat pelajar.

“Pelajar kita bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga pengalaman industri secara langsung yang membuka peluang pekerjaan sebaik tamat pengajian,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk "UMT sebagai universiti pilihan" di Bernama TV, hari ini.

Mohd Fadzil berkata UMT yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini akan terus memperkasakan bidang marin, perikanan dan maritim melalui kepakaran, kemudahan serta infrastruktur yang mantap untuk memacu penyelidikan dan pembangunan bakat.

Beliau berkata selain bidang berkenaan, UMT turut menawarkan pelbagai program lain seperti teknologi maklumat, tenaga boleh baharu dan kejuruteraan, dengan sebahagian besarnya diselaraskan ke arah menyokong pembangunan ekonomi biru negara.

“Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi biru, pihak universiti bersedia menyokong inisiatif kerajaan dalam merangka pelan pembangunan sektor berkenaan, sekali gus memastikan graduan kekal relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan,” katanya.

Mohd Fadzil berkata aspek kelestarian menjadi teras utama dalam setiap program pengajian di UMT, selaras dengan agenda global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam sektor korporat.

Dalam pada itu, beliau berkata kelebihan lokasi berhampiran pesisir pantai menjadikan UMT antara pilihan pelajar kerana memberikan peluang kepada mereka memanfaatkan persekitaran semula jadi sebagai "makmal hidup" dalam proses pembelajaran.

“Pelajar bukan sahaja belajar di dalam kelas, malah turut terlibat secara langsung dalam aktiviti lapangan seperti UMT Diving School di Pulau Bidong, konservasi penyu di Pulau Redang serta kajian akuatik di Tasik Kenyir di Terengganu.

“Budaya pengajaran di UMT menjadikan pelajar lebih aktif dan outgoing, kerana makmal mereka bukan hanya di dalam bangunan, tetapi juga di luar seperti di laut, pantai dan ekosistem semula jadi,” katanya.

Mohd Fadzil berkata segala usaha itu telah mengangkat UMT sebagai peneraju dalam bidang marin di negara ini, sekali gus menempatkannya dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan