JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SAHKAN PEGAWAI BERPANGKAT DSP DITAHAN DIPERCAYAI DALANG KES SAMUN RM4.4 JUTA

10/04/2026 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawainya telah ditahan kerana dipercayai menjadi dalang beberapa siri jenayah samun bersenjata melibatkan nilai RM4.4 juta di sekitar Kepong, Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek berpangkat Deputi Superintenden (DSP) itu pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan telah digantung tugas sejak 23 Jan lepas.

"Suspek dipercayai memainkan peranan utama dalam mendalangi operasi kumpulan terbabit, termasuk merancang dan menyelaras pergerakan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, enam lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 51 tahun, termasuk pegawai polis berkenaan dan dua pengawal peribadi telah ditahan berikutan tiga kejadian samun di kediaman warga asing.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku antara 5.30 pagi hingga 7.30 pagi itu, kumpulan suspek dikesan menyamar sebagai anggota polis untuk memecah masuk kediaman dua mangsa warga China dan seorang wanita warga Indonesia.

Malah, seorang daripada suspek turut dikesan mengacu objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

Sindiket terbabit melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai USD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.

Selain penglibatan anggota berkenaan, Fadil berkata polis turut mendapati dua pengawal peribadi yang ditahan itu telah menyalahgunakan senjata api yang dilesenkan secara sah semasa melakukan siri samun terbabit.

Beliau memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan paling tegas berhubung jenayah itu tanpa memihak kepada mana-mana pangkat atau kedudukan.

Keenam-enam suspek kini direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan