DUNIA

MIN AUNG HLAING ANGKAT SUMPAH SEBAGAI PRESIDEN BAHARU MYANMAR

10/04/2026 05:57 PM

ISTANBUL, 10 April (Bernama-Anadolu) -- Bekas ketua kerajaan tentera Myanmar Min Aung Hlaing mengangkat sumpah pada Jumaat sebagai presiden ke-11 negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau mengangkat sumpah dalam satu sesi Parlimen Kesatuan di ibu negara Naypyidaw, menurut Agensi Berita Xinhua milik kerajaan China.

Beliau turut berucap di hadapan parlimen selepas majlis angkat sumpah itu.

Min dipilih awal bulan ini selepas memperoleh lebih separuh undi di parlimen.

Tokoh berusia 69 tahun itu pernah berkhidmat sebagai panglima tertinggi angkatan tentera, dikenali sebagai Tatmadaw, dari 2011 hingga meletakkan jawatan pada Mac untuk bertanding jawatan presiden.

Beliau secara efektif memerintah Myanmar sejak mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi.

Selepas lima tahun berkuasa, Min menyelia proses pilihan raya tiga fasa bermula akhir Disember yang menyaksikan kemenangan parti protentera, termasuk Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan. Parlimen baharu itu mengadakan sidang pertamanya pada 16 Mac.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan